Pelupusan ladang sawit di Kalimantan beri TSH Resources modal bangunkan tanah lain | DagangNews Skip to main content

Pelupusan ladang sawit di Kalimantan beri TSH Resources modal bangunkan tanah lain

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kenanga Research menjangkakan perjanjian bersyarat untuk menjual 13,898 hektar tanah kelapa sawit yang belum dibangunkan di Kalimantan, Indonesia dengan tunai RM731 juta akan membantu memberikan modal kepada TSH Resources Berhad membangunkan bank tanahnya di negara itu.

 

Firma itu juga menjangkakan penjualan itu akan meningkatkan jangkaan perolehan sesaham teras (CEPS) untuk FY22 dan seterusnya. 

 

"Kami menyemak semula keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) FY22 selepas mengambil kira anggaran keuntungan pelupusan sebanyak RM441 juta.

 

"Seperti yang kami jangkakan sebelum ini, perjanjian itu dijangka diselesaikan pada awal 2023 dan kami menyemak semula CEPS FY22E dan FY23E masing-masing sebanyak 1% dan 6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Perjanjian awal mengenai urusan jual beli itu mula diumumkan pada 12 Disember 2021 diikuti dengan perjanjian penjualan, pembelian dan pampasan bersyarat untuk melupuskan 13,898 hektar dengan wang tunai RM712 juta pada 4 April 2022. 

 

Penjualan tanah itu adalah kepada PT Kawasan Industri Kalimantan Indonesia dan PT Kalimantan Industrial Park Indonesia.

 

Firma itu berkata, TSH berusaha melepaskan aset yang kurang strategik untuk membantu mengurangkan penggearannya dan bank tanah Kalimantan itu agak besar tetapi sebahagian besarnya tidak menyumbang.

 

Katanya, Hasilnya akan membantu mengurangkan sejumlah besar hutang serta menyediakan dana ke arah pembangunan penanaman baharu.

 

"TSH sebelum ini sudah menyatakan bahawa sejumlah RM550 juta hutang akan dibayar balik menggunakan hasil yang dianggarkan menjimatkan kira-kira RM19 juta perbelanjaan faedah tahunan kumpulan," katanya.

 

Firma itu berkata, pelupusan itu dijangka membantu transformasi prospek TSH bagi jangka panjang.

 

Pada asasnya ia akan merendahkan penggearan kumpulan dan mempercepatkan pembangunan tanah kelapa sawit yang masih belum ditanam.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.90," katanya - DagangNews.com