Pentingnya seorang Muslim membina peribadi berakhlak | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 22 July 2022

Pentingnya Seorang Muslim Membina Peribadi Berakhlak 

 

 

 

PERKATAAN akhlak berasal daripada perkataan bahasa Arab ‘al-akhlak’ dalam bentuk kata jamak daripada perkataan ‘al-khuluq’ yang bermaksud tabiat, kelakuan, perangai, tingkah laku, maruah, adat kebiasaan.

 

Menurut istilah pula, ibn Miskawaih mendefinisikan akhlak sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.

 

Sementara Imam Ghazali pula menjelaskan bahawa akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.

 

Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.

 

Sumber akhlak adalah diambil daripada al-Quran dan Hadis. Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)…” (Surah al-Kahfi:1)

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku.” (Riwayat Imam Malik)


 

irsyad

 


Terdapat beberapa faktor untuk membina peribadi berakhlak yang boleh dijadikan panduan dalam membina dan membangun masyarakat Islam:


1. Akidah yang benar

Akidah merupakan perkara yang sangat penting dan asas dalam diri individu muslim. Secara umum, akhlak adalah cerminan dari fikiran, keyakinan dan agama seseorang.

 

Sebaliknya, kerosakan akhlak adalah berpunca dari pemikiran, keyakinan dan kefahaman agama yang salah.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-An’am: 82)

 

2. Sentiasa berdoa

Doa merupakan pintu kebaikan dan kemuliaan. Apabila doa dikabulkan oleh Allah SWT, maka keberkatan dan kebaikan akan mula datang dan berlimpah dalam kehidupan seseorang.

 

Sentiasalah berdoa dikurniakan akhlak yang baik dan dipelihara dari akhlak tercela. Nabi SAW menganjurkan melazimi berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jauhkanlah dariku kemungkaran akhlak, hawa nafsu, perbuatan dan penyakit.” (Riwayat al-Hakim)


 

irsyad

 


Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, tunjukkanlah aku akhlak yang mulia, tiada Zat yang dapat menunjukkan kebaikan kecuali Engkau, dan palingkan aku dari keburukannya, tiada Zat yang dapat memalingkannya kecuali Engkau.” (Riwayat Muslim)

 

3. Mujahadah atau melalui perjuangan

Akhlak mulia termasuk salah satu bentuk hidayah yang perlu diraih melalui perjuangan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang berjihad untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut: 69)

 

4. Muhasabah atau melalui penilaian diri

Perkara ini dapat dilakukan dengan menilai semula diri ketika sengaja atau terlanjur melakukan akhlak tercela dan berusaha tidak mengulangi Kembali pada masa akan datang.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah kamu mengira, bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami.” (Surah al-Mukminun: 115)

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan setiap yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah Maha Teliti terhadap setiap yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr: 18)


 

irsyad

 


5. Melihat impak positif

Mengesan kesan positif dari akhlak yang telah dilakukan merupakan motivasi untuk mengulangi kembali dan menjadikan contoh kepada orang lain.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri…” (Surah al-Israk: 7)


 

irsyad

 


Demikianlah beberapa panduan dan faktor yang boleh mendorong masyarakat Islam membina peribadi berakhlak supaya kehidupan lebih harmoni dan sejahtera.

 

Usaha mendidik dan membimbing akhlak masyarakat di pelbagai peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa perlu dilaksanakan secara holistik untuk kebaikan dan manfaat bersama. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI merupakan Pakar Rujuk Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags