PM terima Golden Mongkol Award pada majlis perasmian Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022 | DagangNews Skip to main content

PM terima Golden Mongkol Award pada majlis perasmian Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama atlet-atlet Muay Thai ketika Majlis Pembukaan Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 di Petaling Jaya. - Gambar BERNAMA

PETALING JAYA 11 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima “Golden Mongkol Award” pada majlis perasmian Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022 di sini, semalam.

 

Anugerah berupa hiasan lilitan kepala seakan seutas tali berwarna hitam dan emas diletakkan dalam bingkai itu hanya diberikan kepada pemimpin negara yang menganjurkan kejohanan dunia seni bela diri berkenaan. Mongkol sering dipakai di kepala oleh atlet Muay Thai sebelum bertarung di dalam gelanggang.

 

Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis itu, Ismail Sabri berkata beliau sangat gembira kerana program itu disertai 110 negara dengan 3,000 peserta. 

 

“Ia merupakan satu program yang besar... saya harap lebih banyak lagi acara-acara besar terutama yang melibatkan kejohanan antarabangsa dapat dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

 

Majlis perasmian yang berlangsung meriah itu dihadiri ribuan tetamu antaranya daripada pelbagai badan Muay Thai antarabangsa, delegasi daripada 110 negara bertanding termasuk barisan pegawai dan atlet serta peminat sukan seni mempertahankan diri itu.

 

Turut hadir adalah Presiden Persekutuan Persatuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA), Sakchye Tapsuwan dan Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi.

 

Sebanyak 3,500 delegasi termasuk atlet daripada 110 negara telah mengesahkan penyertaan bagi Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, sehingga 20 Ogos ini.

 

Saingan ini juga turut diadakan serentak dengan Kejohanan Grand Slam Dunia yang membabitkan penyertaan barisan atlet elit antarabangsa daripada 200 kelab terkemuka dunia secara terbuka.

 

Bagi kejohanan remaja dunia pula lebih 200 kategori dipertandingkan bagi peringkat umur bermula lapan sehingga 17 tahun dan Malaysia mempunyai kira-kira 70 atlet muda yang bakal menggalas cabaran dalam setiap kategori lelaki dan perempuan.

 

Atlet negara yang bakal beraksi terdiri daripada para atlet yang pernah menyertai pentas kejohanan tertinggi antaranya kejohanan dunia, Sukan SEA serta atlet Sukan Malaysia (Sukma), Bernama melaporkan.

 

Kejohanan antarabangsa itu adalah kali kedua buat Malaysia sebagai tuan rumah selepas Kejohanan Muay Thai Dunia di Langkawi pada 2014. - DagangNews.com