Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 8 June 2022

PRU15: Bajet 2023 dijangka dibentang lebih awal tahun ini

 

 

KERAJAAN dijangka membentangkan Bajet 2023 lebih awal tahun ini berikutan desas-desus pembubaran parlimen dan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

 

Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet (PBS). Kebiasaannya PBS dikeluarkan sekitar bulan Ogos sebelum bajet dibentangkan pada Oktober atau November. Ini menguatkan desas-desus yang Bajet 2023 akan dibentangkan lebih awal.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga sudah menjalankan gerak kerja Bajet 2023. Menurut Zafrul, sekurang-kurangnya 400 agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat awam akan dipelawa untuk mengemukakan input serta memorandum mengenai Bajet 2023.

 

Semua input ini boleh disalurkan menerusi portal rasmi htpps://budgetmemorandum.treasury.gov.my yang telah dibuka sehingga 24 Jun 2023 ini.

 

Pastikan Bajet 2023 holistik dan menyeluruh

Walaupun pelaksanaan Bajet 2022 masih berjalan dalam suku tahun kedua, jika kerajaan sedang merangka Bajet 2023, pastikan Bajet 2023 ini lebih holistik dan menyeluruh.

 

Apa yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2023 secara menyeluruh ialah dengan mengutamakan pelaksanaan bajet kepada aspek pemulihan dan ketahanan ekonomi negara.

 

Pasca pandemik ini dilihat sangat mencabar bagi negara dalam usaha untuk pemulihan dan ketahanan ekonomi negara.

 

Walaupun kini, momentum pemulihan ekonomi negara dilihat bergerak dengan baik, namun kerajaan perlu terus berusaha dari aspek ini.

 

 

MoF

 

 

Input komprehensif bagi Bajet 2023

Bagi menghasilkan Bajet 2023 yang menyeluruh dan holistik, kerajaan perlu mendapatkan input yang komprehensif.

 

Bajet 2023 perlu dihasilkan dalam mencari kaedah dan strategi terbaik yang dapat memperkukuhkan pemulihan Malaysia pasca COVID-19 dengan memanfaatkan pertumbuhan serta peluang global.

 

Bajet 2023 juga perlu turut membangkitkan keperluan memperkukuh daya tahan ekonomi dan fiskal Malaysia pada 2023 dan tempoh berikutnya selain menguruskan risiko penurunan akibat ketegangan geopolitik dan rantaian bekalan yang boleh melonjakkan harga komoditi serta makanan secara ketara.

 

Pemulihan semula PKS di Malaysia

Kerajaan juga perlu terus memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Bajet 2023. Ini kerana ramai golongan B40 yang terlibat dalam PKS ini masih lagi “mencari rentak” demi kelangsungan hidup.

 

Bajet 2023 perlu  menumpukan usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, khususnya bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memacu semula pemulihan pelancongan dan sektor lain yang terjejas akibat pandemik.

 

Jika PKS dan industri pelancongan pulih dengan baik, limpahan kesan ini akan membantu rakyat terutamanya golongan B40 untuk mendapat pendapatan yang baik dan keluar dari krisis ekonomi mereka yang masih belum pulih.

 

Utamakan inisiatif untuk rakyat

Bajet 2023 perlu merangka inisiatif berteraskan rakyat, terutama yang menyentuh penjanaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, memperkukuh perlindungan sosial dan meningkatkan sosioekonomi rakyat.

 

Ini yang sebenarnya rakyat mahukan kesan daripada pelaksanaan bajet. Tidak dinafikan kerajaan telah banyak membantu dengan pelbagai pelan, skim bantuan dan lain-lain lagi, tetapi jika bajet memberi fokus kepada inisiatif berteraskan rakyat ini, sedikit sebanyak akan mengurangkan bebanan rakyat.

 

food

 

Sekuriti makanan penting untuk bajet 2023

Selain itu pemulihan ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat, Bajet 2023 perlu memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan. Ini isu global termasuk Malaysia.

 

Dengan keadaan ketidakcukupan bekalan makanan dan mendorong kenaikan harga barang yang naik mendadak, Bajet 2023 perlu mencari penyelesaian mengenai perkara ini.

 

Perkembangan sektor makanan di Malaysia perlu dikembangkan dengan baik mengikut keperluan dan kehendak semasa.

 

Sektor makanan masih lagi berada di takuk yang lama di mana defisit import meningkat dari RM21.6 bilion  pada 2020 kepada RM28.7 bilion  pada tahun 2021. Bilangan import juga turut meningkat daripada RM55 bilion kepada RM63 bilion.

 

Ini menunjukkan tahap sara diri bagi membangunkan bekalan makanan negara semakin menurun. Kebergantungan bekalan makanan kepada negara luar ini dilihat sesuatu yang perlu dikaji dan ditambah baik. Bajet 2023 perlu menyediakan pelbagai pelan dan inisiatif bagi isu ini.

 

Pemerkasaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan  2021-2025 bagi memperkukuh sekuriti makanan negara bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan perlu dilakukan dengan segera bagi mengawal atau menyelesaikan isu sekuriti makanan ini.

 

Pengurusan risiko bencana

Bajet 2023 juga perlu untuk memberi perhatian bagi pengurusan risiko bencana negara. Ia juga penting buat negara kerana kini negara sering dilanda pelbagai bencana alam terutamanya banjir yang juga boleh “melumpuhkan” sektor ekonomi.

 

Apa yang boleh di pertimbangkan dalam Bajet 2023 ialah  pendekatan untuk membangunkan sistem amaran awal bersepadu yang sempurna selain pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi.

 

Mengukuhkan kaedah tindakan awal dan penyelarasan kerajaan apabila Malaysia berhadapan bencana seperti banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa bahagian negara juga dilihat sebagai satu alternatif kepada pengurusan risiko bencana di Malaysia.

 

GST

 

Adakah GST akan diperkenalkan semula?

Bajet 2023 akan menjadi penentu sama ada Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan semula atau tidak.

 

Selepas pemansuhan GST oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018, negara telah kehilangan kira-kira RM20 bilion pendapatan tahunan apabila menggunakan kembali sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Kini,  kerajaan juga bergelut untuk mencari atau mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan negara. Kita juga perlu faham bebanan kerajaan dalam keadaan semasa. Antara sumber utama pendapatan kerajaan adalah melalui cukai.

 

Jika dilihat dari isu sensitiviti rakyat, kerajaan tidak akan memperkenalkan semula GST. Cukai ini juga akan menjadi “peluru” untuk PRU15 bagi parti pembangkang jika kerajaan memperkenalkan semula GST.

 

Mungkin kerajaan akan mengenakan cukai dalam bentuk dan kaedah yang lain dan bukannya GST. Sama-sama kita tunggu isu cukai dan GST ini nanti dalam Bajet 2023.

 

Momentum baik tahun 2023

Bagi tahun 2023 ini, Malaysia  mengekalkan sasaran defisit fiskal 2022 pada 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun perbelanjaan subsidi lebih tinggi, dijangka diimbangi oleh pembayaran dividen yang tinggi. Ia dicapai melalui pembayaran dividen yang tinggi oleh syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas.

 

Malaysia dilihat semakin pulih daripada kemelesetan dan pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan selepas merekodkan peningkatan dalam KDNK.

 

volatiliti

 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengesyorkan sokongan fiskal tambahan jangka pendek dan sederhana perlu dilaksanakan untuk negara-negara di dunia termasuk Malaysia untuk segmen ekonomi terdedah serta terjejas teruk dan pelaburan produktif.

 

Bagi terus memacu pemulihan dan ketahanan ekonomi, Bajet 2023  perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan fiskal jangka sederhana dan panjang bagi membina semula penampan dan menjaga kelestarian ekonomi negara.

 

Semoga Kementerian Kewangan berjaya menghasilkan bajet yang baik buat semua bagi tahun 2023 nanti!. - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor
Portfolio Tags