Saham Pecahan dan Saham Konsolidasi: Antara Yang Tersurat, Tersirat
DALAM siri-siri siaran pada 21 dan 28 Oktober 2020, kita ada berbicara saham-saham baharu dalam terbitan bonus, hak dan waran. Saham-saham ini amat popular dalam kalangan syarikat senaraian awam dan para pelabur. Kalau kita lawat laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman korporat, saban hari ada sahaja syarikat senaraian awam membuat pengumuman mengenai terbitan bonus, hak dan waran.
Tidak seperti saham bonus atau saham dividen, terbitan hak dan waran memerlukan para pemegang saham membayar kos pelaburan untuk mendapatkan saham hak pada harga diskaun dan saham waran pada harga premium daripada harga pasaran syarikat senaraian awam.
Minggu ini kita cuba harmonikan antara saham pecahan dan saham konsolidasi yang diberikan pecuma seperti saham bonus atau saham dividen. Namun kita boleh terjemahkan apa yang tersurat dan tersirat oleh syarikat senaraian yang menerbitkannya.
Saham Pecahan (Share/Stock Split)
Saham pecahan sebagaimana namanya, ia dirujuk kepada syarikat senaraian awam memecahkan sahamnya. Ia adalah terbitan saham-saham baharu sesebuah syarikat tersenarai kepada para pemegang sahamnya yang pastinya melibatkan pertambahan daripada saham terbitan dalam IPOnya. Dalam kes ini, syarikat memberi saham tambahan kepada pemegang saham dalam bentuk bilangan saham bergantung kepada bilangan asal saham yang dimilikinya.
Ini bermakna pemegang saham secara automatik akan melihat saham pegangannya bertambah tetapi nilai pegangannya kekal. Ini dijustifikasikan oleh dua perkara yang dipecah: Pertama; bilangan saham dipecahkan kepada pertambahan bilangan saham. Kedua; harga semasa pasaran dipecahkan kepada pengurangan nilai saham.
Sebagai contoh, kalau nisbah saham pecahan 1: 4, bermakna setiap satu unit saham yang dipegang dipecahkan menjadi 4 unit saham. Sebaliknya, harga pasaran saham dipecahkan menjadi 1/4 nilai pasarannya.
Mari kita ambil contoh JHM Consolidation Berhad (Patuh Syariah):
Daripada rekod yang difailkan kepada Bursa Malaysia, JHM menawarkan saham pecahan pada nisbah 1:2, bermakna setiap 1 saham dipecahkan menjadi 2 saham. Tarikh 8 Feb 2018 adalah tarikh luput, manakala tarikh 12 Feb 2018 adalah tarikh kelayakan ke atas saham pecahan JHM. Mengikut rekod, saham JHM ini didagangkan pada harga RM3.00 sesaham dan mempunyai 250 juta saham berbayar. Ini bermakna JHM mempunyai nilai pasaran RM750 juta (250 juta X RM3.00) sebelum saham pecahan.
Selepas pecahan saham iaitu mulai 13 Feb 2018, bilangan saham berbayarnya akan dipecahkan menjadi besar 500 juta unit (250 juta X 2/1) tetapi nilai pasarannya dipecahkan menjadi kecil RM1.50 (RM3.00 X 1/2). Kata lain, bilangan sahammnya naik dua kali ganda (2 X 1) tetapi harga pasarannya turun separuh (1/2). Namun begitu, nilai pasaran saham JHM kekal RM750 juta (500 juta X RM1.50).
Jadi, kalau anda memiliki 5,000 saham JHM sebelum 12 Feb 2018 bernilai RM15,000 (5,000 X RM3.00). Namun, mulai 13 Feb 2018, saham anda naik dua kali ganda menjadi 10,000 saham. Ooop! Jangan terlajak ghairah Kak Piah! Saham pegangan anda masih kekal bernilai RM15,000 (10,000 X RM1.50).
“Pulok doh! Apa untungnya aku?”, rungut Kak Piah. Sabar dulu! Kak Piah simpan dahulu saham sehingga harga JHM naik melepasi RM1.50 sesaham. Mengambil contoh 17 Nov 2020, harga tutupnya adalah RM2.14, bermakna nilai pegangan Kak Kiah naik menjadi RM21, 400 (10,000 X RM2.14). Naik nilai RM6,400 tu……
Saham Konsolidasi (Consolidation Share)
Saham Konsolidasi atau Pecahan Terbalik atau Pecahan Berlawanan sebagaimana nama diberi adalah berlawanan dengan saham pecahan. Justeru terbitan saham konsolidasi oleh syarikat senaraian ditawarkan kepada para pemegang sahamnya ini adalah untuk mengurangkan saham yang diterbitkan sekaligus bertujuan menaikkan harga pasaran yang amat tertekan bagi tempoh sementara. Melalui kaedah ini, para pemegang saham akan menyaksikan saham yang dimiliki berkurangan tetapi harga pasaran semasa naik menyamai dengan nisbahnya.
Jom kita ambil contoh PUC Berhad (Patuh Syariah):
Daripada rekod yang difailkan kepada Bursa Malaysia, PUC menawarkan saham konsolidasi pada nisbah 5:1, bermakna setiap 5 saham dipecahkan menjadi 1 saham. Tarikh 15 Nov 2019 adalah tarikh luput, manakala tarikh 10 Jan 2020 adalah tarikh kelayakan ke atas saham pecahan PUC. Melalui analisis, saham PUC ini didagangkan pada harga 5.5 sen sesaham dan mempunyai 2.21 bilion saham berbayar. Ini bermakna PUC mempunyai nilai pasaran RM121.6 juta (2.21 bilion X 5.5 sen) sebelum saham konsolidasi.
Selepas saham konsolidasi iaitu mulai 11 Jan 2020, bilangan saham berbayarnya akan dipecahkan menjadi kecil 442 juta unit (2.21 bilion/5) tetapi nilai pasarannya dipecahkan menjadi besar 27.5 sen (5.5 sen X 5). Kata lain, bilangan sahamnya turun satu perlima kali (1/5) tetapi harga pasarannya naik lima kali ganda (5 X 1). Namun begitu, nilai pasaran saham PUC kekal RM121.6 juta (442 juta X 27.5 sen).
Jadi, kalau anda memiliki 10,000 saham PUC sebelum 15 Nov 2019 bernilai RM550 (10,000 X 5.5 sen). Namun, mulai 11 Jan 2020, saham anda turun satu perlima menjadi 2,000 saham. Ooop! Jangan terlajak panik Mat Budin! Nilai saham pegangan anda masih kekal bernilai RM550 (2,000 X 27.5).
Pun begitu, berdasarkan harga tutup 25 sen pada 17 Nov 2020, nilai pegangan Mat Budin adaah RM500 (2,000 X 25 sen). Jatuh nilai RM50 jer…………
Antara Yang Tersurat dan Tersirat
Rumusannya, saham pecahan boleh dianggap sebagai “berita baik” sebab syarikat senaraian mempunyai niat yang tersurat untuk menurunkan harga pasarannya buat sementara waktu, lazimnya beberapa minggu selepas ia diumumkan. Yang tersirat pula adalah untuk membolehkan para pelabur atau para pemegang saham menambahkan belian pada harga “teramat mampu milik”. Dalam kes JHM, sudah pasti harga RM1.50 dikira “terlajak murah” bagi saham yang berkualiti ini dengan prospek kewangan yang baik dengan harga semasa boleh kembali naik melebihi harga rujukan RM1.50 sesaham, di mana JHM ditutup RM2.14 pada 17 Nov 2020!
Namun begitu, kaedah saham konsolidasi dianggap "berita buruk" sebab jarang diamalkan oleh syarikat senaraian awam. Logiknya pemegang saham kurang gemar kaedah ini yang bertujuan untuk menaikkan harga saham semasa yang teruk terjejas. Jadi untuk meyakinkan para pemegang saham, PUC cuba menyusun semula struktur modal berbayarnya dengan mengurangkan bilangan saham dan menaikkan harga pasarannya. Ternyata, harga sahamnya yang tertekan merudum kepada 6 sen terendah sepanjang 2019; harga saham PUC di tutup 25 sen pada 17 Nov 2020; iatu di bawah harga rujukan 27.5 sen!
Pemegang saham JHM dan PUC boleh sahaja memilih untuk “simpan” dahulu sebagai strategi pelaburan untuk menjual semula apabila harga naik melepasi harga rujukan masing-masing!
Pun begitu sama ada kita suka atau tidak, saham pecahan menyebabkan saham kita bertambah tetapi harga saham pula berkurang. Sebaliknya, pecahan terbalik, bilangan saham berkurang tetapi harga saham pula bertambah. Itu hukumnya di mana kedua-dua kaedah ini adalah kontra satu antara lain tanpa melibatkan kos pelaburan! Cara mudahnya kita simpan dahulu dan jual semula bila harga pasaran naik melebihi harga rujukan masing-masing!
Minggu depan kita terokai syarikat senaraian membeli semula sahamnya di Bursa Malaysia; adakah ia satu strategi atau tragedi?..........
Penulis adalah mantan profesor pelaburan di UiTM sehingga bersara wajib 2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020.