Solarvest tubuhkan Vestech Energy tawar penyelesaian solar untuk segmen kediaman | DagangNews Skip to main content

Solarvest tubuhkan Vestech Energy tawar penyelesaian solar untuk segmen kediaman

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Solarvest Holdings Berhad telah menubuhkan anak syarikat, Vestech Energy Sdn. Bhd. untuk memberi fokus kepada penyediaan penyelesaian solar kepada segmen kediaman dalam usaha meningkatkan kadar penggunaan dalam kalangan pemilik rumah.

 

Menerusi Vestech, mereka telah melancarkan enam pelan solar EcoHome yang disesuaikan untuk pemilik rumah bertanah dengan purata bil elektrik bulanan bermula dari RM300 dan ke atas.

 

Katanya, pelan solar EcoHome disediakan dengan saiz sistem solar antara 4.5kWp hingga 12.6kWp.

 

Setiap pelan menyediakan penyelesaian penjimatan kos jangka panjang dengan penjimatan sehingga 90% pada bil elektrik.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya mendapat permintaan yang besar untuk sistem solar fotovoltaik (PV) di dalam pasaran domestik.

 

"Tumpuan yang difokuskan dalam pasaran kediaman solar ini akan melengkapkan perkhidmatan solar komersial dan perindustrian serta skala utiliti kami.

 

solar

 

"Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan dan mengekalkan status kepimpinan dalam pasaran EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) dalam ketiga-tiga segmen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Chun Siong berkata, pengguna kini lebih terbuka untuk mengurangkan perbelanjaan mereka selepas berdepan dengan kenaikan akdar inflasi.

 

Beliau berkata, bagi mereka yang tinggal di hartanah bertanah, pemasangan panel solar PV adalah antara langkah terbaik untuk menjimatkan perbelanjaan.

 

"Disertakan dengan kemudahan pembiayaan menarik seperti pendahuluan sifar bagi memudahkan usaha kemasukan baharu dengan kami menyasarkan pemasangan 2,000 projek solar kediaman setiap tahun,” katanya.

 

Beliau berkata, syarikat itu merancang untuk menggalakkan penggunaan tenaga solar dengan meluaskan liputan Powervest, platform pembiayaan solarnya, kepada pengguna domestik pada masa hadapan.

 

"Matlamat kami adalah untuk memperluaskan fleksibiliti penyelesaian pembiayaan Powervest ke dalam usaha niaga luar negara kami di lima negara ASEAN dan Taiwan.

 

“Pelan strategik ini akan menyumbang secara positif kepada usaha kami dalam mengembangkan kehadiran pasaran kami dalam ekonomi yang sedang berkembang," katanya. - DagangNews.com