Malaysia berpotensi besar sebagai rakan dagang Turkiye jadi pintu masuk dan hab perdagangan ke ASEAN | DagangNews Skip to main content


Malaysia berpotensi besar sebagai rakan dagang Turkiye jadi pintu masuk dan hab perdagangan ke ASEAN

ANKARA 7 Julai 2022 - Malaysia mempunyai  potensi  yang sangat besar sebagai rakan dagang utama Turkiye serta sebagai  pintu masuk dan hab perdagangan ASEAN bagi republik itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kedua-dua negara kini berada dalam pusingan akhir rundingan perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang meliputi bidang baharu seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.

 

“Dari segi pelaburan, saya menghargai keyakinan para pelabur Turkiye di Malaysia. Saya juga yakin perluasan MTFTA akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dua hala,” katanya semasa sidang media bersama dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di sini, pada Khamis. Terdahulu, Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari di Turkiye mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan, diikuti dengan mesyuarat antara delegasi Malaysia dan Turkiye.

 

Perdana Menteri berkata beliau memaklumkan kepada pemimpin Turkiye itu bahawa semasa lawatan ini beliau telah mengambil peluang untuk bertemu dengan pemain utama industri kedua-dua negara untuk meneroka dan meningkatkan kerjasama pelaburan. Pada masa ini, pelaburan utama Malaysıa di Turkıye meliputi sektor kesihatan dan tenaga selain sebagai pengendali operasi lapangan terbang, katanya.

Beliau berkata pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah bukti kejayaan syarikat Malaysia di Turkiye. Pada pertemuan itu juga, kedua-dua pemimpin turut membincangkan potensi untuk Turkiye meningkatkan import minyak sawit Malaysia. - DagangNews.com