Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 04 Mar 2021 06:30 AM

Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai

 

 

SAYA menyediakan segala keperluan 1stdubaiinternetcity dengan kemas dan tersusun. Bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab dan semuanya bergantung kepada saya yang diamanahkan.

 

Para pengurus lain sibuk dengan kerja masing-masing. Bertemu seminggu sekali untuk melaporkan dan kalau ada komen. Masing-masing hanya mendengar tanpa komen.

 

Majlis pelancaran akan dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Internet City, Ahmad bin Byat.

 

ahmad byat
Ahmad Byat

 

Saya memilih kontraktor terkenal untuk menyiapkan selama dua bulan. Mudah kerana kontraktor itu tahu apa yang perlu dibuat dan dengan kos berpatutan. Saya turut sama mencari peralatan dan kemudahan 1stdubaiinternetcity. Dari meja, kerusi dan segala peralatan termasuk dinding dan lantai.

 

Sementara tugas yang diberi oleh Mohammad Gergawi telah siap dan saya menghantar kepada beliau. Mohammad Gergawi terkejut kerana saya menghantar sebelum deadline. Dia membaca dan mengucapkan terima kasih. Tugas kedua akan menyusul, kata beliau.

 

Saya duduk di pejabat untuk berehat sekejap. Saya pada masa itu terus menulis online di laman-laman web menentang kerajaan di bawah (Tun) Dr Mahathir Mohamed, ketika itu.

 

Saya menulis untuk Harakahdaily dalam kolum Dubai Online setiap minggu. Juga menulis cerpen untuk Harakah pada tahun 2000 hingga 2003. Waktu itu tahun Februari 2001.

 

Saya juga menulis untuk pelbagai lawan web reformasi dengan menggunakan pelbagai nama samaran, untuk mengelakkan diri jadi tumpuan. Saya juga baik dengan semua pembangkang di Malaysia.

 

1998

 

Buat masa itu, penentangan saya terhadap kerajaan Malaysia kerana apa yang jadi pada Anwar Ibrahim. Bagi saya tidak adil beliau diperlakukan begitu.

 

Boleh dikatakan hampir setiap malam di rumah Anwar Ibrahim sewaktu sebelum tahun 2000. Saya pernah mengikut kawan untuk raptai dan berdemo di Masjid Negara dan berada betul-betul di belakang Anwar Ibrahim. Juga sentiasa berada di Jalan Tunku Abdul Rahman setiap petang dan dikejar oleh FRU.

 

fru

 

Di TV3, pun masa itu kuat dengan reformasi. Suasana agak kelam-kabut bila kira-kira 20 orang dibuang kerja. Saya ditukarkan serta-merta. Semua itu memoir yang sentiasa saya ingat.

 

Sayang tiada simpanan tulisan saya secara online kerana laman-laman web itu semua sudah tiada. Tidak ingat untuk menyimpan.

 

Tiba-tiba ada panggilan telefon. Daripada CEO.

 

“Boleh datang jumpa saya?”

 

Saya segera ke pejabat CEO di sebelah yang terbuka. Setiausaha menegur dan terus meminta saya masuk.

 

Saya terkejut apabila masuk.

 

Seorang lelaki Melayu yang saya saya kenal dan seorang pengurus wanita yang saya tidak ingat nama.

 

“This is Dr Othman Yeop Abdullah,” CEO, Ahmad bin Byat memperkenalkan. Saya bersalaman dan duduk dengan Ahmad mengadap (arwah Tan Sri) Dr Othman Yeop dan pengurus wanita itu.

 

Othman Yeop Abdullah
Othman Yeop Abdullah

 

“Othman Yeop would like to be a consultant to Dubai Internet City. I will pass his CV to you for you to check whether we are going to have a consultant or not?”

 

Ahmad menyerahkan CV Dr Othman Yeop pada saya. Saya lagi terkejut.

 

“Fudzail is a Malaysian staff here and a business manager. He would see your CV,” Kata Ahmad pada Dr Othman Yeop.

 

Pada masa itu, Dr Othman Yeop adalah pengerusi Multimedia Development Corporation (MDC). Seorang yang terkenal.

 

Beliau adalah antara otak yang bertanggungjawab terhadap perkembangan MSC dan MDC. Beliau berani menceburi cara-cara baru untuk mencapai prestasi MSC dan MDC. Dr Othman berjaya bangunkan MSC kepada yang mengagumkan dalam tempoh tujuh tahun.

 

Bermula pada tahun 1996, terdapat hanya dua atau tiga orang dan  bermula dari sifar dan boleh melihat prestasi MSC dalam tempoh tujuh tahun.

 

Boleh dikaitkan dengan Dr Othman yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek MSC. Dr Mahathir Mohamad adalah lelaki yang menghasilkan idea untuk membangunkan MSC dan Dr Othman bertanggungjawab untuk menubuhkan MSC.

 

MSC
PETA Multimedia Super Corridor Malaysia (MSC).

 

Beliau mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Walaupun semasa cuti, dia bekerja sepenuh masa di MDC. Saya tergamam kerana tidak menyangka Dr Othman akan bertemu saya.

 

Untuk melihat CV Dr Othman Yeop saya rasa tidak perlu. Namun Dr Othman Yeop terkejut dengan kehadiran saya, bertembah lagi apabila saya disuruh melihat CV beliau.

 

Saya tidak bercakap apa-apa. Sementara Ahmad terus bercerita pasal saya.Kemudian saya mendengar dari Dr Othman Yeop bahawa Dr Mahathir mahu datang melawat Dubai Internet City dalam masa dua bulan.

 

Ahmad melihat saya.

 

“Since you are from Malaysia, I will get you to arrange everything on Mahathir’s visit!”

 

Saya bertambah-tambah terkejut dan tidak tahu untuk berkata apa!

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!

dan

Gergawi tanya : Are you on the take?

dan juga

Sheikh al Maktoum bagi tugasan mendadak