Menjadi jemaah tunggal Malaysia di khemah Indonesia
Saya terbangun sejam sebelum subuh. Lelaki dan tilam itu telah menghilang. Lesap entah kemana. Memang ramai yang tidur. Bergelimpangan. Mungkin mereka senasib dengan saya. Tidur nyenyak seperti bayi walau hanya atas lantai. Itulah nikmat yang tidak boleh didustakan walau serba kekurangan. Walau tanpa apa-apa.
Keadaan di Masjidil Haram memang sibuk seperti biasa. Sempat menjengah ke arah Kaabah. Pemandangan yang meruntun jiwa. Penuh dengan jemaah tawaf keliling. Kilauan lampu menambah keindahan.
Bergegas untuk ke tandas. Mencari jalan keluar, berasak-asak manusia di mana-mana. Tandas terletak agak jauh. Di bahagian bawah. Pun sama keadaan. Ramai yang beratur menanti giliran. Dalam keadaan begitu, kesabaran yang tinggi adalah perlu. Ramai yang mahu memotong giliran. Selfish. Tidak pedulikan orang lain.
Semua itu sebahagian dari cabaran dalam realiti dunia. Kalau melihat tingkah laku manusia yang bergelar muslim di Masjidil Haram, memberikan pengalaman yang terbaik.
Kita bukan umat contoh yang boleh menguasai dunia. Kita hanyalah buih-buih di lautan. Banyak terdampar di mana-mana. Terutama dalam kebersihan tandas. Tanpa ada ribuan pekerja yang membersihkan Masjidil Haram, tentunya sama sahaja dengan keadaan di ‘R&R’ sepanjang lebuh raya Riyadh ke Makkah. Kotor dan menjijikan.
Itulah yang saya fikirkan. Kebersihan Masjidil Haram adalah kerana penjagaan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Kalau tidak, segala sampah sarap terhimpun di mana-mana mata memandang.
Saya sempat masuk kembali ke dalam Masjidil Haram sebelum azan dan berkejaran untuk solat di saf depan. Diberikan rezeki. Saya bersolat subuh di depan sekali. Depan kaabah yang menumpahkan airmata. Tuhan telah memberikan laluan yang mudah untuk saya.
Selepas solat, saya pergi ke hajar asawad. Saya melihat orang ramai sudah beratur, saya segera beratur.
Seorang demi seorang.
Akhirnya tiba giliran saya, dimudahkan oleh tentera yang menjaga. Sekali lagi, airmata berjuraian, mudahnya untuk mencium hajar asawad. Kemudian terus bergerak untuk kembali ke asrama yang terletak berhampiran Mina.
Dengan harapan tidak sesat, berjalan perlahan dengan beg plastik sambil menikmati udara awal pagi yang menyegarkan. Ada juga kebimbangan, kalau apa-apa berlaku kepada saya, tiada siapa kenal kerana tiada apa-apa identiti.
Pasport dengan sekeping kertas bercap visa saya dipegang oleh pensyarah Universiti Madinah sebagai kepala jemaah Indonesia dari Riyadh.
Saya tidaklah homeless atau gelandangan di kota Makkah. Hanya mahu meneroka road less traveled. Pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Melalui jalan-jalan yang terus dibanjiri jemaah haji. Ada ternampak restoran Indonesia. Mahu sahaja bersarapan, tetapi masih belum dibuka. Masih awal pagi.
Melihat keliling Makkah, kawasan-kawasan perbukitan. Teringat cerita arwah abah yang membesar di Makkah semenjak kecil. Dari usia 9 tahun. Membayangkan di zamannya dan perubahan yang berlaku. Banyak sudah pembangunan.
Abah saya seorang Melayu yang menjadi Arab sepenuhnya, duduk dengan Arab-arab. Tetapi jiwanya Melayu, terserlah dari pemakaian. Aruah hanya berbaju Melayu, tidak berjubah.
Dengan jutaan jemaah haji setiap tahun, prasarana kota Makkah ketika itu sudah usang dan perlukan pembangunan drastik dan tersusun.
Sememangnya Makkah, sebagai tanah suci Makkah mempunyai sejarah yang panjang. Cerita arwah ayah yang membesar di kota Makkah semenjak kecil menemani sambil berjalan dalam keletihan.
Saya ada keluarga yang menetap di Makkah. Sengaja tidak menghubungi. Perjalanan haji itu satu perjalanan peribadi yang merentas imaginasi dan jangkaan peribadi.
Ada rasa mengantuk. Tidur memang tidak cukup. Tetapi itu bukan masalah besar. Berada di Makkah di musim haji itu adalah rezeki. Sebulan lalu, saya tidak pun terfikir untuk naik haji. Langsung tidak terniat. Semuanya bukan kebetulan untuk terhantar ke Arab Saudi.
Bergegas balik ke asrama kerana selepas zohor, dijadualkan untuk berangkat ke Arafah, paginya ada taklimat, ceramah untuk jemaah oleh seorang ustaz yang memimpin jemaah daripada Indonesia. Saya mahu mendengar taklimat itu untuk memastikan kefahaman dalam ibadah haji.
Apabila tiba di asrama, tetap gawat seperti semalam. Saya mencari makanan yang disediakan. Tidak pula rasa selera. Lantas mencari di restoran berhampiran.
Apabila masuk ke bilik, masih ada yang tidur. Katanya, bekalan air sudah habis di asrama, sedang menanti lori tangki air datang. Ramailah yang tidak sempat mandi. Nasiblah saya sempat mandi tengah malam dan awal pagi di Masjidil Haram.
Abdul Rahman, ketua rombongan bas kami segera bertanya, ke mana saya menghilang. Apabila bercerita, dia berkata mengapa tidak ajak dia. Selepas ini katanya, mesti ajak dia kalau ke mana-mana kerana mahu juga merasakan pengalaman yang saya lalui.
Dua tiga orang lain sama mendesak untuk diajak bersama. Saya bersetuju melihat semangat mereka. Mungkin mereka terpesona dengar saya tidur atas bumbung seorang diri dan terbangun dikelilingi jemaah wanita. Sambil menanti taklimat, sempat mengelilingi kawasan sekitar asrama. Ada sebuah masjid.
Saya memeriksa tandas, pun bekalan air telah habis. Keadaan tandas yang tidak bersih. Kami kemudian berkumpul di atas bumbung asrama untuk mendengar taklimat. Ustaz dari Indonesia itu sudah banyak kali naik haji. Dia memberi panduan semasa berada di Arafah hingga ke Mina.
Saya duduk di hadapan sekali, untuk mendengar lebih jelas kerana dia berbahasa Indonesia. Dia ada bercerita sesuatu yang melucukan. Para jemaah ketawa. Saya tidak berapa ingat cerita itu, mengenai seorang `alim Indonesia' yang pergi ke Malaysia. Bunyinya mengutuk Malaysia.
'Alim' itu menipu orang Malaysia. Seakan bodohnya orang Malaysia, senang-senang kena tipu dengan warga Indonesia.
Selepas itu dia bertanya, “Di sini tiada sesiapa dari Malaysia, ya?” Abdul Rahman yang duduk sebelah saya segera menjawab dengan menunjuk kepada saya.
“Ada, kawan kita ini dari Malaysia!” Sekali lagi berderai ketawa.
Ustaz itu pula yang terkejut. Meminta maaf kalau saya rasa tersinggung. Saya jawab, tidak sekali. Sebab itu cerita kelakar. Saya pun menjadi popular kerana satu-satunya bukan warga Indonesia yang sanggup bersama jemaah Indonesia.
Kami bergerak menuju ke Arafah dengan semangat dan ekspektasi yang tinggi. Teringat cerita seorang kawan, dia ke Arafah sekadar lima minit dengan perjalanan yang pantas. Sedang orang lain dalam bas mengambil masa dua jam kerana kesesakan jalan raya. Itulah kelebihan dia dan saya masih terasa pelik.
Membayangkan tempat kami bermalam seperti mana dalam visual yang pernah dilihat.
Khemah-khemah warna putih. Apabila tiba di tempat “perkemahan” kami, terasa terkejut. Hanya bangsal-bangsal. Ada atap daun-daun pokok kurma. Tiada dinding. Terbuka. Ada alas tikar.
“Untuk semua? Lelaki dan perempuan?” soal saya kepada Abdul Rahman. Begitulah.
Saya segera mengajak Abdul Rahman untuk meneroka Arafah, mendaki Jebel Rahmah. Ramai yang mahu mengikut. Kami pun berjalan sambil memerhati. Ada kawasan VIP. Wow, cukup eksklusif.
Sambil itu juga kami membantu mengedarkan makanan dan minuman dari lori-lori,“Sabil! Sabil!” Seronok pula. Selepas asar kami pulang ke khemah.
Dalam keletihan, tiba-tiba ada suara menjerit-jerit dan melolong. Keadaan menggemparkan. Saya dan Abdul Rahman berkejar ke khemah belakang kami.
Jemaah wanita histeria. Katanya kena rasuk. Keadaan menjadi panik. Suasana haru biru. Kena rasuk? Saya bertanya Abdul Rahman yang rupa-rupanya juga seorang bomoh, dia segera ke hadapan. Nampak penuh yakin. Penuh sensasi.
Dalam keadaan gempar itu, ternampak Abdul Rahman memeluk salah seorang jemaah wanita yang melolong. Sekilas saya nampak, yang dipeluknya itu paling cantik di antara yang lain.
Berkumat kamit Abdul Rahman. Jampi serapah. Ayat Quran. Makin kuat pelukannya.
Saya memerhati. Kaget, Tidak pernah membayangkan ada kena rasuk di Arafah. Depan mata berlaku. Hampir menjelang maghrib. Mungkin banyak jin dan setan berkeliaran di kawasan kami.
Semakin ramai datang menonton drama sehari sebelum wukuf. Pelbagai andaian, gosip dan spekulasi yang berkemundang. Ada yang membaca pelbagai ayat-ayat Quran. Sekuatnya.
Selepas keadaan reda, jemaah wanita yang kena rasuk sudah sedar dan ada berbaring, saya mendekati Abdul Rahman. Ada sesuatu yang mendesak dalam hati. Semenjak mengenali Abdul Rahman, kami boleh sahaja berterus-terang. Dia pun kelakar orangnya.
“Kenapa kamu peluk perempuan itu, dia isteri orang, kamu suami orang, bukan muhrim!”
Soalan saya bermaksud, kenapa perempuan cantik itu yang dipilihnya, bukan yang lain. Abdul Rahman tersenyum nakal. Menarik nafas panjang sebelum menjawab.
(Bersambung dalam buku, Travelog & Haji Tanpa Visa yang bakal diterbitkan)
Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand.
KOLEKSI WAINUIOMATA
Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam
Mengerjakan haji dengan visa instant
Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City