Inflasi, dasar global ketat pengaruhi prospek pertumbuhan Malaysia menjelang 2023 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Inflasi, dasar global ketat pengaruhi prospek pertumbuhan Malaysia menjelang 2023 - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Okt - Impak inflasi global dan dasar yang ketat dijangka terus mempengaruhi prospek pertumbuhan negara terutama menjelang 2023 dengan sebarang kelembapan permintaan global secara mendadak boleh menjejaskan prospek perdagangan, demikian menurut MIDF Research.

 

Firma itu berkata, risiko penurunan dalam jangka masa terdekat turut ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, pertumbuhan perlahan di negara ekonomi dagangan utama (terutama Amerika Syarikat dan China) dan kenaikan inflasi. 

 

Pada masa sama, katanya, gangguan baharu kepada pengeluaran dan perdagangan global seperti ketegangan geopolitik semakin memuncak, tekanan kenaikan kos, kekurangan bahan mentah dan buruh yang berpanjangan juga mempengaruhi prospek pertumbuhan. 

 

"Namun, di sebalik ketidaktentuan luaran ini, kami percaya Malaysia dapat menghadapi kelembapan global ini, hasil daripada kepelbagaian produk eksport dengan menjangkakan kelembapan permintaan global tidak akan begitu ketara seperti krisis sebelum ini; dan juga jika pengembangan permintaan dalam negeri dapat dikekalkan.

 

"Mengambil kira faktor ini, kami mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 6.6%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Khamis lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kedudukan ekonomi Malaysia pada ketika ini berada di landasan yang kukuh dan stabil, walaupun diancam ketidakstabilan ekonomi global yang dicetuskan oleh ketegangan geopolitik dan faktor luar.

 

Kerajaan dengan kerjasama sektor swasta dan awam telah berjaya menyokong perniagaan tempatan dan merangsang ekonomi melalui dasar yang responsif dan bertanggungjawab serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang baik pada kadar 8.9% dengan kadar pengangguran 3.7%.

 

MIDF Research berkata, penunjuk terkini terus menunjukkan peningkatan, dengan pengembangan berterusan dalam Indeks Pelopor (IP) menandakan momentum pertumbuhan positif untuk diteruskan dalam beberapa bulan akan datang.

 

Ia menjangkakan pertumbuhan akan terus disokong pertumbuhan dalam perbelanjaan domestik yang stabil susulan pembukaan ekonomi dan ketibaan pelancong yang meningkat apabila sempatan antarabangsa dibuka semula.

 

"Pertumbuhan berterusan dalam perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan adalah penting untuk mengimbangi potensi kesan kelembapan permintaan luar.

 

"Namun begitu, prestasi perdagangan luar lebih baik daripada jangkaan berikutan penghantaran kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum dan minyak sawit," katanya. 

 

Firma itu optimis perbelanjaan pengguna akan lebih kukuh pada separuh kedua 2022 dan seterusnya berdasarkan prestasi pasaran buruh yang menggalakkan.

 

"Selain itu, penurunan kadar pengangguran mungkin menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan untuk menormalkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang," jelasnya. - DagangNews.com