Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 16 July 2022

Inflasi: Dua dunia berbeza – Sin Chew Jit Poh

Sin Che Jit Poh 15 Julai 2022

 

 

 

SUKAR untuk menyangkal bahawa kehidupan rakyat hari ini terperangkap dalam kesusahan dan dalam dilema mencari jalan keluar.

 

Namun Putrajaya dan Parlimen seolah-olah masih menutup pintu utamanya, mengasingkan diri daripada dunia luar.

 

Pilihan raya demokrasi dalam sesebuah negara adalah untuk memastikan kerajaan dan pemimpinnya adalah dari kalangan rakyat, untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya menjauhi rakyat.

 

Oleh itu di bawah sistem demokrasi, kita memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka dihormati sebagai wakil rakyat kita.

 

Hari ini seluruh dunia dan semua lapisan masyarakat dibelenggu inflasi global kesan daripada penularan wabak, malah ada yang terpaksa mengikat perut menahan kelaparan.

 

Berbeza pula dengan sekumpulan wakil-wakil rakyat kita yang begitu selesa dan terus menikmati pelbagai faedah dan kemudahan yang diberikan oleh perbendaharaan negara, melaksanakan pelbagai projek untuk masa depan politik peribadi.

 

Lihat sahaja bagaimana kabinet Ismail Sabri menangani inflasi. Sehingga hari ini PM mungkin ‘belum nampak’ atau ‘tidak mahu’ mengakui bahawa syarat paling asas dalam pembentukan kabinet ialah arahan dan langkah perlu seiring.

 

PMO

 

Itu sebabnya Perlembagaan memberi kuasa penuh kepadanya untuk melantik anggota kabinet sendiri.

 

Sebaliknya, jika ada perbalahan dalam anggota kabinet yang membawa kepada kemusnahan karier politik dalam PRU akan datang, secara automatik akan menjadi musuhnya.

 

Adakah anggota kabinet ini terus mempertahankan kepimpinan PM dengan sepenuh hati, melaksanakan keputusan kerajaan untuk memenangi hati rakyat?

 

Atau masih lagi tidak sebulat suara dan sengaja mewujudkan lebih banyak konflik dalam kabinet untuk memerangkap dan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap PM?

 

Satu lagi sistem di bawah kabinet yang hilang kawalan ialah perkhidmatan awam yang paling dekat dengan majoriti rakyat.

 

Adakah perkhidmatan mereka benar-benar ikhlas atau ada yang mengambil kesempatan melalu pelbagai cara untuk menipu rakyat?

 

Ini juga adalah salah satu sebab mengapa pelbagai subsidi kerajaan dan program-program bantuan untuk golongan pertengahan dan bawahan, setakat ini gagal memberi manfaat kepada golongan sasar ini.

 

Sebahagian besar proses penyaluran peruntukan kerajaan adalah melalui struktur penjawat awam, dan jumlah yang selalunya sampai ke tangan rakyat sudah tidak sebanyak mana kerana ada tangan-tangan yang mengautnya terlebih dahulu.

 

 

apa

 

 

Lebih menyedihkan semak dan imbang dalam sistem Parlimen negara hanya tinggal nama sahaja.

 

Pembangkang pula yang diketuai oleh PH masih lagi keberatan dan tidak memainkan peranan mereka sebagai pembangkang memberi tekanan kepada kabinet Ismail Sabri yang jelas berpecah belah dan gagal menangani isu inflasi?

 

Jelas sekali kekalahan dalam PRN Sarawak, Melaka dan Johor, membuatkan pembangkang kecut untuk berdepan dengan rakyat.

 

Mereka cuba mengambil kesempatan membiarkan api kemarahan rakyat terus marak dan perbalahan di dalam UMNO semakin memuncak. Apabila tiada pilihan, kemenangan akan berpihak kepada mereka pada PRU kelak.

 

Dua dunia berbeza yang memisahkan ahli Parlimen dan rakyat. Keangkuhan wakil rakyat semakin jelas.

 

Jika dulu ketika rakyat dalam kesusahan dan ditindas, pantas sahaja wakil rakyat tampil bersuara membela dan membantu. Namun hari ini rakyat terus dibiarkan susah.

 

apa

 

Bukan sahaja tidak membantu mengawal inflasi, pelbagai langkah yang diketengahkan langsung tidak mesra rakyat.

 

Antaranya enggan memberi taraf kerakyatan kepada ibu-ibu Malaysia yang bersalin di luar negara, menaikkan gaji minimum yang tinggi, enggan mengeluarkan permit buruh asing dan sebagainya.

 

Rakyat pula kini terdedah dengan penipuan bank dan pelaksanaan undang-undang yang tidak adil.

 

Nampaknya Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Bangunan Parlimen masih lagi terkunci dan terpisah dengan dunia realiti sebenar! - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 15 Julai 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags