IOI Properties dijangka bentuk usaha sama bangunkan projek Marina View - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

IOI Properties dijangka bentuk usaha sama bangunkan projek Marina View - AmInvestment

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Sebagai satu-satunya pembida bagi jualan tanah di Marina View, Singapura, IOI Properties Group dilihat mempunyai peluang yang cukup besar untuk memenangi bidaan tersebut yang ditutup semalam.

 

IOI Properties membuat bidaan terhadap tanah pajakan 99 tahun berkeluasan 7,817.6 meter persegi itu menerusi syarikat milik penuhnya, Boulevard View Pte Ltd. 

 

Ia membabitkan nilai sebanyak S$1.5 bilion (RM4.7 bilion) pada S$1,378 per kaki persegi bagi setiap plot.

 

Bagaimanapun, keluasan tanah tersebut adalah lebih kecil berbanding tanah yang telah dibeli IOI Properties pada November 2016 bagi Central Boulevard pada S$2.6 bilion atau S$1,689 kaki persegi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) S$3.5 bilion. Kedua-dua plot tanah ini terletak di kawasan Marina Bay.

 

Jika IOI Properties mengekalkan margin yang sama, penganalisis AmInvestment Bank Research, Lee Ching Poh
menganggarkan projek pembangunan di kawasan tersebut akan meningkatkan GDV sebanyak S$2.1 bilion (atau RM6.4 bilion). 

 

"Pada masa sama, ia juga akan meningkatkan peruntukan projek kumpulan di Singapura daripada 11% kepada 21%.

 

"Kami turut menganggarkan peningkatan 7% bagi pendapatan IOI Properties bagi tahun kewangan 2023-2024 sekiranya jualan bermula pada 2023," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Tender awam bagi jualan tanah itu dilancarkan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar Singapura (URA) pada 28 Jun lalu dan ditutup 21 September 2021.

 

Kawasan tersebut dijangka menyaksikan pembangunan bercampur dengan sebahagian besarnya terdiri daripada bangunan kediaman dan hotel dengan 540 bilik manakala bakinya untuk unit komersial.

 

Bagaimanapun, AmInvestment berpendapat, dengan mengambil kira kos pembangunan yang tinggi dan kesan ketara terhadap imbangan tunai, IOI Properties dijangka membentuk usaha sama dengan rakan kongsi lain untuk mempelbagaikan potensi risiko.

 

Firma itu menganggarkan tahap gearan bersih kumpulan akan meningkat kepada 0.7x bagi tahun kewangan 2022 berbanding 0.5x setakat 30 Jun 2021, tetapi kekal terrus tanpa membabitkan aktiviti pengumpulan modal. 

 

"Kami positif terhadap urus niaga ini kerana ia akan menjana permintaan kukuh daripada kawasan utama di pusat bandar Singapura dengan akses kemudahan MRT apabila ekonomi kembali pulih dalam tempoh sederhana dan jangka panjang," tambahnya. 

 

Sementara menanti butiran terperinci perkembangan tender ini, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' bagi IOI Properties dengan nilai saksama pada RM1.80. - DagangNews.com