IPO Mr DIY sasar raih RM1.5 bilion | DagangNews Skip to main content

IPO Mr DIY sasar raih RM1.5 bilion

Mr DIY akan disenaraikan di Bursa Malaysia, 26 Oktober ini.

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Mr DIY Group (M) Bhd. dijangka meraih dana sehingga RM1.5 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) apabila disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, 26 Oktober ini. 

Dana itu ditawarkan menerusi 941.49 juta saham biasa baharu dan sedia ada dengan harga IPO RM1.60 sesaham. 

Menurut prospektus syarikat tersebut di Bursa Malaysia, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.2 bilion akan disalurkan kepada syarikat pegangan yang menawarkan untuk menjual saham mereka iaitu Bee Family Ltd, Tan Yu Yeh, Tan Yu Wei, Yeh Family (PTC) Ltd, WEI Future Capital Ltd, Hyptis dan Platinum Alphabet.

Sebelum langkah penyenaraian itu, Bee Family memiliki 52.6% pegangan, Hyptis (18%) dan Platinum Alphabet (7.1%). 

Sementara itu, sebahagian RM301.44 juta pula akan digunakan untuk pembayaran semula hutang (RM276.14 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM25.3 bilion). 

Menerusi penyenaraian itu, Mr DIY dianggarkan bernilai RM10 bilion dari segi permodalan pasaran selepas sahamnya diapungkan sekali gus menjadi IPO terbesar di Malaysia tahun ini.

Bagi langkah pengembangan Mr DIY pada masa hadapan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong, berkata, pihaknya merancang untuk membuka 307 kedai baharu di seluruh negara menjelang akhir 2021. 

"Ini dapat membantu kami meningkatkan pegangan pasaran dan merangsang pertumbuhan pendapatan," katanya dalam sidang media maya majlis pelancaran prospektus Mr DIY hari ini. 

Ketika ini, syarikat mempunyai 674 kedai termasuk di Malaysia dan Brunei. 

Setiap kedai Mr DIY memerlukan pelaburan modal (capex) sebanyak RM1.6 juta manakala bagi jenama lain memerlukan capex RM1.2 juta. 

Berdasarkan prospektusnya, purata capex setiap kedai termasuk inventori adalah sebanyak RM581,000 setakat 30 Jun 2020. - Dagangnews.com