Amalan Puasa Sunat di bulan Syaaban | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 16 February 2024

Amalan Puasa Sunat di bulan Syaaban

 

 

 

Kini masyarakat Islam sedang berada dalam bulan Syaaban iaitu berada di susunan turutan kelapan dalam kalendar Hijrah sebelum memasuki bulan Ramadan.

 

Nabi SAW suka melazimi dan memperbanyakkan ibadah puasa sunnah dalam bulan ini berbanding bulan-bulan selainnya kerana bulan Syaaban adalah sinonim sebagai bulan diangkat semua amalan ke sisi Allah SWT.

 

Usamah ibn Zaid RA pernah bertanya kepada Nabi SAW, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada satu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Syaaban?” Rasulullah menjawab: Itu adalah bulan yang manusia sering lalai padanya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan semesta alam, maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa” (Riwayat Ahmad no. 21753 dan an-Nasa’i no. 2317).

 

Berdasarkan hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW berpuasa penuh dalam bulan Syaaban dan lebih suka amalannya diangkat ketika dalam keadaan berpuasa.

 

Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa umat Islam digalakkan untuk beramal dan melakukan ketaatan ketika manusia sedang lalai.


 

irsyad

 


Seterusnya, dalam riwayat yang lain ‘Aisyah RA pernah mengkhabarkan dengan katanya: “Nabi SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Seterusnya Nabi SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban” (Riwayat al-Bukhari no. 1833 dan Muslim no. 1956).

 

Manakala hadis ini pula menunjukkan bahawa Nabi SAW banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban yang menggambarkan bilangan hari Nabi SAW berpuasa dalam bulan ini adalah banyak.

 

Namun, terdapat juga sebuah riwayat yang lain dilihat seolah-olah bertentangan atau bercanggah dengan dua hadis di atas iaitu “Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Syaaban melainkan sedikit” (Riwayat Muslim, no.1957). Hadis ini pula memberi gambaran bilangan hari Nabi SAW berpuasa adalah sedikit.

 

Berkaitan riwayat-riwayat hadis yang dilihat saling bertentangan atau bercanggah, para ulama hadis mempunyai beberapa kaedah atau teknik untuk berinteraksi dengan riwayat hadis sedemikian.

 

Pertama, melalui kaedah “menghimpunkan antara dua hadis tersebut”. Jika kaedah ini tidak berhasil, maka para ulama hadis akan menggunakan kaedah kedua iaitu dengan melihat pada “nasikh dan mansukh”.

 

Jika masih tidak berhasil, maka mereka akan menggunakan kaedah ketiga iaitu “tarjih” (pemilihan). Jika masih tidak berhasil juga, maka yang terakhir adalah kaedah keempat iaitu “tawaqquf” (tinggalkan).

 

 

irsyad

 

 

Pandangan pertama, sebahagian ulama menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa di bulan Syaaban secara penuh di sebahagian tahun sahaja, manakala di sebahagian tahun lain Nabi SAW berpuasa sedikit sahaja. Ini menggambarkan Nabi SAW tidak berpuasa secara penuh dalam bulan Syaaban di setiap tahun.

 

Pandangan kedua, sebahagian ulama menyatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban kecuali di bulan Ramadan sahaja. Sementara hadis yang menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa pada bulan Syaaban melainkan sedikit, boleh difahami bahawa dari sudut bahasa jika seseorang yang sering berpuasa boleh dikatakan telah berpuasa sebulan penuh disebabkan kelazimannya terhadap perbuatan tersebut ataupun telah berpuasa sebahagian besar daripada bulan tersebut.

 

Setelah diteliti dua pandangan tersebut, maka boleh dikatakan bahawa pandangan yang kedua adalah lebih tepat iaitu yang menyatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban kecuali di bulan Ramadan sahaja.

 

Demikianlah, umat Islam digalakkan dan dianjurkan untuk berpuasa sunat, memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan kepada Allah SWT. dalam bulan Syaaban berdasarkan hadis yang telah dibentangkan di atas.

 

Contohilah Nabi SAW yang sangat menyukai sekiranya amalan tahunan berpeluang diangkat dan dipersembahkan oleh Malaikat kepada Allah SWT dalam keadaan sedang berpuasa.- DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags