Kepentingan melihat Sejarah menurut Islam sebagai ibrah dan uswah
ADA pepatah tersohor menyatakan bahawa sesiapa yang lupa pengajaran daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan yang sama berulang kali.
Inilah yang lazim disebut dan dinisbahkan kepada ungkapan ‘sejarah mungkin berulang’.
Perkataan sejarah berasal dari bahasa Arab iaitu ‘syajarah’ yang bermaksud pokok atau ‘syajarah al-nasab’ yang bermaksud pokok silsilah. Secara asas, pokok berasal dari benih, kemudian tumbuh dan berkembang lalu perlahan berubah menjadi layu dan tumbang.
Begitulah juga dengan peristiwa sejarah yang bermula dari masa pertumbuhan, kemudian perkembangan, lalu diakhiri dengan kemunduran dan kehancuran.
Selain itu, sejarah juga disebut ‘tarikh’ yang bermaksud waktu iaitu ilmu yang membahas tentang peristiwa beserta waktu dan penyebab terjadinya suatu peristiwa.
Menurut istilah, sejarah adalah suatu kejadian atau peristiwa yang terjadi di masa lampau dan benar-benar terjadi pada seseorang atau masyarakat seperti halnya peristiwa yang benar-benar terjadi pada kenyataannya.
Sejarah juga didefinisikan sebagai gambaran peristiwa yang sudah terjadi di masa lalu mengenai kejadian pada kehidupan manusia sebagai makhluk sosial yang disusun dan ditulis berdasarkan fakta dan interpretasi penulis sejarah terhadap objek peristiwa di masa lampau.
Sementara Ibnu Khaldun pula mendefinisikan sejarah adalah ilmu berdasarkan kenyataan dan meyakini bahawa kehendak Tuhan sebagai pangkal gerak sejarah.
Sejarah pada dasarnya bertujuan agar manusia sedar tentang persoalan dan pelbagai perubahan masyarakat terdahulu sebagai usaha dalam menyempurnakan kehidupan ke hadapan.
Terdapat pelbagai fungsi dan tujuan sejarah menurut perspektif Islam yang memberi manfaat kepada manusia dan generasi yang akan datang.
Pertama, sejarah berfungsi memberi pengajaran (ibrah) kepada manusia. Sejarah menuntut masyarakat Islam untuk berfikir supaya dapat menjadikan sesuatu peristiwa sebagai pengajaran dan hikmah dalam kehidupan untuk memilih tindakan selanjutnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang mengeluarkan orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka, bahwa mereka akan keluar dan mereka pun yakin, bahwa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari (siksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang yang mempunyai wawasan” (Surah al-Hasyr: 2).
Kisah yang berkaitan dan sama dengan ayat di atas turut dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka Shaleh. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun, (yang karenanya) kamu akan ditimpa siksaan yang pedih.
Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikam kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerusakan” (Surah al-‘Araf: 73-74).
Demikianlah Allah SWT menceritakan supaya mengambil pengajaran dari kisah kaum Nabi Soleh AS iaitu Tsamud. Kaum Tsamud adalah kaum yang terkenal hebat mampu memahat bukit-bukit menjadi rumah atau tempat kediaman sehingga lupa terhadap nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.
Namun kaum Tsamud enggan taat serta patuh kepada Nabi Soleh AS dan Allah SWT, lalu Allah SWT telah memusnahkan dan menyisakan sebahagian bangunan sebagai pengajaran untuk generasi akan datang.
Kisah tersebut telah dicatatkan dalam al-Quran supaya dijadikan sebuah simbol peradaban manusia pada masa silam sebagai pengajaran untuk semua manusia.
Kedua, sejarah berfungsi sebagai sumber keteladanan (uswah) kepada manusia. Uswah adalah suatu sumber keteladanan atau contoh yang boleh dikutip melalui sejarah yang telah berlaku. Dalam al-Quran terdapat pelbagai ayat yang menceritakan perihal uswah supaya menjadi teladan dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (Surah al-Ahzab: 21).
Pengkajian terhadap sejarah membantu untuk mewariskan nilai-nilai yang terkandung di dalam sesuatu budaya dari satu generasi ke generasi. Oleh itu, sangat penting untuk mengkaji peristiwa yang mengandungi sejarah tentang Islam bermula dari fasa pertumbuhan, perkembangan dan kemajuan dalam peradaban.
Jelas bahawa pengkajian terhadap sejarah dapat membantu dalam perkembangan peradaban manusia pada masa akan datang. Lantaran itu, kesan pengkajian terhadap sejarah akan mengarah kepada pencapaian kemajuan yang lebih baik dari sebelumnya.
DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.