Hanya 14 peratus organisasi di Malaysia bersedia manfaatkan teknologi AI, kata Cisco | DagangNews Skip to main content

Hanya 14 peratus organisasi di Malaysia bersedia manfaatkan teknologi AI, kata Cisco

Gambar: freepik.com
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Nov - Indeks Kesiapsiagaan AI Cisco 2024 mendedahkan, hanya 14% organisasi di Malaysia benar-benar bersedia untuk melaksanakan dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), mencatatkan sedikit peningkatan berbanding 13% pada 2023. 

 

Laporan itu menekankan cabaran yang dihadapi oleh perniagaan dalam menguna pakai AI, terutamanya ketika syarikat di seluruh dunia menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk mengintegrasikan penyelesaian AI dalam operasi mereka.

 

Menurut kajian yang melibatkan 3,660 pemimpin perniagaan kanan dari organisasi di 14 pasaran di rantau Asia Pasifik, Jepun dan China (APJC), kesiapsiagaan AI diukur melalui enam tonggak utama iaitu strategi, infrastruktur, data, tadbir urus, bakat dan budaya.


 
Walaupun organisasi di Malaysia menyedari kepentingan AI, masih terdapat jurang yang ketara antara cita-cita untuk mengguna pakai AI dan kesiapsiagaan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi berkenaan.

 

Biarpun terdapat jurang, hasrat untuk menggunakan AI semakin meningkat, dengan 98% syarikat di Malaysia melaporkan pertambahan keinginan dalam tempoh setahun yang lalu. 

 

Ia antara lain didorong oleh CEO dan pasukan kepimpinan, dengan 55% syarikat memperuntukkan antara 10% hingga 30% daripada bajet IT mereka untuk AI. 

 

Namun, banyak syarikat melaporkan bahawa pulangan daripada pelaburan itu tidak memenuhi jangkaan.

 

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, semasa syarikat mempercepat perjalanan AI, penting untuk mereka menggunakan pendekatan yang komprehensif dalam pelaksanaan dan menghubungkan titik-titik untuk menyelaraskan cita-cita AI dengan kesiapsiagaan. 

 

"Indeks Kesiapsiagaan AI tahun ini menunjukkan bahawa untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi AI, organisasi perlu memodenkan infrastruktur digital mereka untuk memenuhi permintaan yang berkembang dan menyokong beban kerja AI," katanya dalam satu kenyataan.

 

Indeks tersebut menyoroti penurunan dalam kesiapsiagaan infrastruktur, terutamanya dalam bidang seperti kapasiti pemprosesan, prestasi pusat data dan keselamatan siber. 

 

Walaupun menghadapi cabaran, AI tetap menjadi keutamaan bagi syarikat Malaysia, dengan pelaburan tertumpu kepada keselamatan siber, pembangunan perisian dan pengurusan data.

 

Terdapat juga tekanan yang semakin meningkat dari kepimpinan tertinggi untuk melaksanakan teknologi AI, dengan 55% syarikat melaporkan bahawa CEO dan pasukan kepimpinan mereka memimpin usaha tersebut. 

 

Selain itu, sejumlah 39% organisasi merancang untuk memperuntukkan lebih daripada 40% bajet IT mereka untuk AI dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, satu peningkatan yang ketara berbanding hanya 6% ketika ini.

 

Meningkatkan skala dan fleksibiliti infrastruktur IT menjadi keutamaan bagi 48% syarikat, mencerminkan pengiktirafan terhadap jurang yang perlu diatasi untuk meningkatkan kesiapsiagaan AI secara keseluruhan. 

 

Selain itu, kekurangan bakat kekal sebagai cabaran utama, dengan banyak perniagaan menekankan kekurangan profesional yang berkemahiran dalam bidang berkaitan AI sebagai halangan utama kemajuan. - DagangNews.com