Ismail Sabri: Kerajaan peruntukkan RM48.52 juta bantu penjaja, peniaga kecil | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri: Kerajaan peruntukkan RM48.52 juta bantu penjaja, peniaga kecil

PUTRAJAYA 3 Dis - Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM48.52 juta bagi pelaksanaan Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan golongan berkenaan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui inisiatif itu, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

 

"Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa dan bil utiliti.

 

"Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya, sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran Program Transformasi Pasar Malam, di sini.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, nilai pembiayaan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun.

 

"Jadi, saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing," katanya.

 

PM

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

 

Ismail Sabri berkata, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun 2022. 

 

Menurutnya, Program Transformasi Pasar Malam yang diusahakan oleh KPKT ini, mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘Marshal Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

 

Untuk itu kata beliau, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara.

 

``Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com