Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Jun - Sukar untuk pemain industri minyak sawit mentah (MSM) meningkatkan kadar hasil di ladang masing-masing ketika situasi COVID-19 terus memberi impak ke atas penggunaan tenaga buruh sektor berkenaan.
Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research mendakwa isu kekurangan tenaga buruh masih belum diselesaikan, malah bertambah buruh sehingga mendatangkan kerugian pengeluaran buat pemain industri.
“Sejak sekatan pergerakan pertama dikuatkuasakan di Malaysia pada 18 Mac 2020, pengambilan pekerja asing dibekukan, dan perkara ini masih berterusan sehingga hari ini. Pekerja asing yang membuat keputusan untuk pulang ke negara asal masing-masing pada waktu itu tidak dibenarkan memasuki semula ke Malaysia.
“Sime Darby Plantations berkata bahawa tenaga kerja Malaysia (di ladangnya) ketika ini berada pada kadar 75% hingga 80% daripada jumlah yang diperlukan.
“FGV mendedahkan tenaga kerjanya hanya 75% daripada diperlukan, penurunan ketara daripada 90% pada penghujung suku ketiga 2020 (3Q20),” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian hari ini.
Sebagai rekod, pengeluaran minyak sawit Malaysia sangat bergantung terhadap buruh asing di mana merangkumi 70% jumlah tenaga kerja keseluruhan.
Pada awal Mei 2021, kerajaan dilaporkan telah meluluskan seramai 32,000 pekerja asing ke ladang-ladang kelapa sawit dalam beberapa peringkat.
Namun, CGS-CIMB difahamkan bahawa perancangan itu tertangguh, susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 baharu di dalam negara.
Berdasarkan kaji selidik sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), CGS-CIMB berkata, ia menunjukkan terdapat kekurangan 31,021 peladang dalam kalangan responden yang mewakili 76% pemain industri.
Dijangkakan bahawa angka itu menunjukkan kerugian pengeluaran sebanyak 3.4 juta tan dan 0.857 tan, masing-masing bagi MSM dan isirong sawit.
“Kami berpendapat bahawa kekurangan pekerja ladang ini bertambah buruk sejak kaji selidik itu dilaksanakan, maka jangkaan kerugian mungkin meningkat yang akan menyebabkan penyusutan bekalan MSM dari Malaysia sekiranya tidak ditangani menjelang 3Q21 iaitu puncak musim pengeluaran, ini mungkin berlaku berdasarkan situasi COVID-19 semasa,” tambah CGS-CIMB.
Dalam tempoh empat bulan pertama 2021, output MSM dari Malaysia jatuh 6% kepada 5.18 tan berbanding tahun lalu ekoran pemain industri tidak mampu untuk meningkatkan produktiviti kerana kekurangan pekerja.
Namun, situasi ini bakal dikurangkan oleh harga MSM yang lebih tinggi susulan bekalan minyak boleh dimakan di peringkat global berkurangan.
Dalam perkembangan lain, Malaysia mengumumkan bahawa industri minyak sawit masih dibenarkan beroperasi dalam tempoh ‘total lockdown’ sehingga 14 Jun nanti, dengan kapasiti optimum.
Bagi CGS-CIMB, ini merupakan langkah positif, dan dapat memastikan operasi dan bekalan industri itu tidak terjejas.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan Malaysia dan memberikan saranan ‘tambah’ ke atas saham Genting Plantations Berhad, Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad. - DagangNews.com