Isu politik jejaskan KLCI, Serba Dinamik pula rancak diniagakan | DagangNews Skip to main content

Isu politik jejaskan KLCI, Serba Dinamik pula rancak diniagakan

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pasaran tempatan pagi ini dibuka rendah selepas UMNO mengisytiharkan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), malam tadi. 

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI susut 8.25 mata kepada 1,521.90 mata.

 

Inter-Pacific Research dalam nota kajian berkata, di sebalik kebimbangan mengenai peningkatan ketara jangkitan COVID-19, ketidaktentuan politik semakin memburukkan keadaan. 

 

Katanya, KLCI kekal rendah dalam 4 sesi berturut-turut dan berakhir sekitar 1,530 mata setelah bergerak dalam julat yang terhad.

 

"Kami melihat keadaan pasaran semakin tidak menentu apabila UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan yang menyebabkan kemelut politik bertambah sukar," katanya.

 
Semalam, Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga lebih rendah di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan peningkatan ketara kes COVID-19 dengan lebih 7,000 kes baharu dilaporkan.

 

Indeks FBM KLCI susut 1.48 mata atau 0.10% kepada 1,530.15 daripada 1,531.63 ketika ditutup pada Selasa.

 

Di sebalik kebimbangan terhadap kes COVID-19, semua mata kini tertumpu kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kedudukan kadar faedah dalam mesyuaratnya hari ini yang mana penganalisis menjangkakan kadar itu akan dikekalkan pada 1.75%.

 

Dalam dagangan pagi ini, saham Serba Dinamik Holdings Bhd. rancak diniagakan dengan menokok 4.17% kepada 50 sen diikuti Advance Synergy Bhd., naik 6.25% kepada 17 sen.

 

Selain itu, Pelangi Publishing Group Bhd. meningkat 23.29 kepada 45 sen manakala Metronic Global Bhd. naik 12.50% kepada 45 sen. 

 

Selain saham-saham aktif, turut menjadi tumpuan dalam dagangan hari ini termasuklah Kawan Food Bhd, Yong Tai Bhd, Sunway Bhd, Seni Jaya Corp Bhd dan AirAsia Group Bhd. - DagangNews.com