Isuzu serah lebih 270 buah trak kepada City-Link Express | DagangNews Skip to main content

Isuzu serah lebih 270 buah trak kepada City-Link Express

KUALA LUMPUR 25 Sept. Isuzu Malaysia Sdn Bhd mengumumkan penyerahan bersejarah 277 unit trak pelbagai model termasuk trak tugas ringan, trak tugas sederhana dan Prime Mover kepada pelanggan utamanya, City-Link Express (M) Sdn Bhd (City-Link Express).

Penyerahan tersebut dibantu dan disempurnakan menerusi pengedar Isuzu Malaysia, iaitu Jumbo Arena Sdn Bhd (Jumbo Arena).


Sebahagian daripada trak-trak tugas ringan tersebut dilengkapi platform Isuzu Safety Plus yang mempunyai empat ciri keselamatan penting iaitu Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Anti-slip Regulator (ASR) dan Supplemental Restraint System (SRS) Airbag.

Melalui penyerahan trak-trak tersebut, City-Link Express telah menjadi pelanggan pertama di Malaysia yang memiliki Isuzu Safety Plus dalam trak-traknya sebaik selepas pelancaran platform keselamatan tersebut oleh Isuzu Malaysia pada 1 September baru-baru ini.

Satu majlis penyerahan rasmi yang lengkap dengan acara memotong reben dan penyerahan kunci telah diadakan di Dataran City-Link Express di Jenjarom, Selangor. Ia dihadiri oleh para pegawai kanan pengurusan dan kumpulan sokongan Isuzu Malaysia, Jumbo Arena dan City-Link Express.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan sesi pelepasan beberapa buah trak baharu City-Link Express sebagai simbolik kepada pertumbuhan perniagaan yang semakin memberangsangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, pihaknya sangat gembira untuk menyerahkan trak-trak baharu kepada City-Link Express yang merupakan salah satu pelanggan setia kami di Malaysia.

Katanya, penyerahan ini menjadi bukti komitmen Isuzu dalam menyokong City-Link Express untuk mencapai objektif perniagaannya, biarpun di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar kini.


“Trak-trak kami dibina dengan Teknologi S.E.E Isuzu sebagai asasnya. Ia mewakili aspek Keselamatan (Safety), Penjimatan (Economy) dan Alam Sekitar (Environment) untuk ditawarkan kepada semua pelanggan kami seperti City-Link Express produk yang boleh dipercayai, efisien dan versatil yang diperlukan untuk membantu meningkatkan prestasi serta kemampanan perniagaan mereka,” ujarnya.

City-Link Express ditubuhkan empat dekad lalu iaitu pada 1979 sebagai syarikat kurier pertama di Malaysia. Hari ini, ia merupakan sebuah daripada syarikat penghantaran ekspres bersepadu dengan jenama yang cukup mantap. Penyerahan trak-trak baharu Isuzu dipercayai akan mengukuhkan lagi keupayaan barisan kenderaan yang dimiliki oleh City-Link Express, sekali gus menyokong pertumbuhan operasi perniagaannya di Malaysia.

Mengulas mengenai sebab membeli trak-trak baharu Isuzu, Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express (M) Sdn. Bhd., Ronald Tan berkata, pertumbuhan luar biasa e-dagang dan peningkatan pembelian secara dalam talian yang dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memacu permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran kurier.

“City-Link Express telah menjadi sebuah syarikat penghantaran kurier yang dipercayai sejak berdekad-dekad lamanya. Kami akan terus komited untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti dengan memastikan barangan pelanggan tiba ke destinasi tepat pada masanya dan dalam keadaan yang baik. 

“Bagi menyokong jumlah penghantaran yang kian meningkat, adalah penting barisan trak kami ini boleh dipercayai, selamat dan mudah diselenggara. Perniagaan ini memerlukan trak yang boleh pergi jauh bersama kami, selain menawarkan sokongan selepas jualan yang pantas dan cekap. Semua ini sangat penting kerana kami berada dalam perniagaan yang mementingkan kepantasan dan perlu mematuhi tarikh penghantaran yang telah ditetapkan dengan selamat.

“Kami telah menggunakan trak Isuzu selama 10 tahun dan sangat berpuas hati dengan semua aspek ini. Maka, kami mengambil keputusan untuk membeli trak tambahan,” katanya.

Tan menyatakan bahawa Isuzu menawarkan City-Link Express dengan penyelesaian yang paling kos efektif kerana trak-trak tersebut menjimatkan minyak, manakala kos untuk alat ganti, servis dan penyelenggaraan juga kompetitif. Ini dapat membantu syarikat mengurangkan kos operasi.

“Trak Isuzu yang mesra pengguna dan senang dipandu nyata memudahkan tugas para pemandu kami. Hasilnya, mereka kurang penat dan tempoh tidak dapat beroperasi dapat diminimumkan, sekali gus meningkatkan produktiviti serta kecekapan. Semua ini membantu mengekalkan pemandu yang kami ada dan menarik minat pekerja baru,” kata Tan lagi.   

Bukan itu sahaja, ciri kotak hitam yang ada pada trak Isuzu juga penting buat City-Link kerana ia membolehkan syarikat memantau dan merekod dengan lebih efisien, katanya. - DagangNews.com