Jawatankuasa Peringkat Persekutuan dibentuk bincang tuntutan Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 - PM | DagangNews Skip to main content

Jawatankuasa Peringkat Persekutuan dibentuk bincang tuntutan Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Gambar RTM
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KOTA KINABALU 20 Mei - Sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan dibentuk bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan beliau sendiri dan turut disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

 

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam MA63, terutama apa yang sepatutnya diperoleh oleh Keluarga Malaysia Sabah.

 

"Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah. 

 

Jelasnya, kerajaan menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya. 

 

Dalam majlis tersebut, Ismail Sabri turut mengumumkan berita gembira bagi penduduk sekitar Pagalungan, Nabawan yang memerlukan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas. 

 

"Mereka tidak perlu lagi pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau untuk mendapatkan pas berkenaan yang kini didapati di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan.

 

"Bagi memastikan “no wrong door policy”, urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di negeri ini," katanya.

 

Katanya,  penganjuran Jelajah AKM di Sabah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kesejahteraan dan keamanan terus terjamin dan kebajikan mereka terbela. 

 

"Apabila saya memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, sudah semestinya rakyat Sabah menguntumkan senyuman kerana nilai asas kebersatuan dalam kepelbagaian itu sudah sebati dalam kehidupan Keluarga Malaysia 'di negeri di bawah bayu'.

 

"Saya berharap Keluarga Malaysia Sabah akan memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan dan menghayati erti sebenar Aspirasi Keluarga Malaysia yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com