Jet pejuang FA-50 dan Tejas dalam senarai akhir Tentera Udara Diraja Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Jet pejuang FA-50 dan Tejas dalam senarai akhir Tentera Udara Diraja Malaysia?

Pesawat FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI)
ANALISIS BERITA oleh ZAKI SALLEH

KEPUTUSAN pesawat mana yang akan dimuktamadkan bagi perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak mungkin diumum tahun ini.

 

Jika sekali pun calon berkenaan telah dikenal pasti, namun sebarang proses akhir tidak mungkin akan dilaksanakan sekarang kerana ia perlu mengambil kira faktor kesesuaian masa serta kestabilan pemerintah.

 

Jangkaan ini juga dipengaruhi faktor politik kerana apa jua keputusan mengenai perolehan lebih elok diumumkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dan kerajaan dipilih. 

 

Sekiranya pesawat yang menjadi pilihan itu diumumkan sekarang, ia juga tidak menjanjikan apa-apa apabila kerajaan sedia ada bertukar dan kontrak masih belum ditandatangani.

 

Sebarang perubahan termasuk pada jenis dan spesifikasi pesawat juga tidak mustahil boleh berubah kerana segalanya bergantung pada keputusan kerajaan yang memerintah.

 

Kemungkinan perolehan dibatalkan boleh berlaku walaupun setelah surat hasrat (LoI) dianugerahkan kepada firma terpilih sepertimana yang pernah terjadi sebelum ini

 

Jadi, ketidaktentuan ini amat membimbangkan syarikat luar negara yang sememangnya memahami tatacara perolehan pertahanan di Malaysia dilaksanakan.

 

 

lima
LIMA'23 dijadualkan pada Mei 2023.

 


Spekulasi lain ialah kemungkinan perolehan ini diumumkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung di Langkawi, 23 hingga 27 Mei tahun depan.

 

Andaian ini boleh berlaku sekiranya PRU telah pun diadakan sebelum itu.

 

Perolehan LCA/FLIT adalah bagi menggantikan pesawat-pesawat Hawk dan Aermacchi MB339CM TUDM sepertimana diumumkan tiga tahun lalu.

 

Fasa pertama untuk membekalkan 18 pesawat LCA/FLIT ini telah meletakkan negara dalam radar firma-firma aeroangkasa apabila diifahamkan enam syarikat telah mengemukakan cadangan bagi merebut kontrak tersebut bernilai RM4 bilion. 

 

Daripada jumlah itu dua pesaing disebut-sebut berada dalam senarai akhir iaitu firma Korea Aerospace Industries (KAI) yang menawarkan pesawat FA-50 dan Hindustan Aeronautics Ltd (Tejas).


 

fa-50
Pesawat FA-50 sering disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk TUDM.

 


Bagaimana pun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh TUDM mahu pun Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengenainya.

 

Berbanding Tejas, pesawat FA-50 sering disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk TUDM atas faktor memiliki ciri-ciri yang cenderung pada kesesuaian angkatan udara itu.

 

FA-50 yang dibangunkan daripada pesawat KAI T-50 Golden Eagle juga telah dioperasikan tujuh angkatan udara di dunia dengan pengguna terbesar adalah Korea Selatan iaitu lebih 100 pesawat bagi kedua-dua variasi.

 

Pesawat latihan T-50 juga dikatakan sebagai setanding dengan pesawat jenis sama buatan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara NATO, menyebabkan pesawat ini turut menarik perhatian Tentera Udara AS.

 

Bagi rantau Asia Tenggara pula, KA-50 dimiliki Filipina manakala Thailand dan Indonesia mengoperasikan pesawat T-50.

 

Terbaru, KAI menjadi pilihan Poland apabila negara itu bersetuju untuk membeli 48 buah pesawat FA-50 bagi memperkasakan kuasa udaranya.

 

Firma HAL dari India juga dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk memenangi kontrak LCA/FLIT TUDM ini yang jika dimeterai, ia merupakan kejayaan eksport pertama Tejas menembusi pasaran luar negara.


 

Tejas
Tejas merupakan pesawat tempur ringan sebenar dengan sistem persenjataan yang ampuh.

 

 

Pada atas kertas, ciri-ciri pada Tejas lebih menyerlah sebagai pesawat tempur ringan sebenar dengan sistem persenjataan yang ampuh  memberikan kelebihan.

 

Tejas boleh membawa variasi persenjataan seperti sistem peluru berpandu udara ke udara R73E, Python 5, ASRAAM, Derby dan Astra.

 

Pesawat ini juga boleh melancarkan peluru berpandu anti kapal BrahMos NG dan NASM-MR. BrahMos NG sangat digeruni kerana boleh mengenai sasaran sejauh 290 kilometer.

 

Memiliki BrahMos dilihat boleh melonjakkan keupayaan tempur TUDM dalam aspek cegah rintang untuk mengekang pencerobohan sempadan maritim di Laut China Selatan.

 

TUDM pada tahun 2019 telah merangka Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan 2055 atau dikenali sebagai CAP55 untuk angkatan udara itu dibangunkan sebagai sebuah pasukan keselamatan yang berkesan.

 

Ini khususnya menerusi penstrukturan aset utama pada masa kini dan depan. 

 

Kesimpulannya, apa pun jenis pesawat yang akan menjadi pilihan MINDEF nanti, biarlah ia mempunyai teknologi mutakhir, kos efektif serta benar-benar menepati kehendak angkatan udara itu. - DagangNews.com