PRU15: Malaysia perlu kerajaan majoriti, berpengalaman hadapi tekanan ekonomi
Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria
PILIHAN RAYA UMUM ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 ini, bakal menjadi pilihan raya terpenting buat rakyat Malaysia.
Semua pasti menunggu keputusan PRU15 kerana ia bakal menetapkan nada kepada hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
PRU15 adalah mengenai masa depan negara dan peluang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia bagi membuat keputusan yang tepat untuk kembali kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
Siri ketidakstabilan politik Malaysia sejak tsunami politik pada tahun 2008 yang menyaksikan kerajaan dibentuk hilang 2/3 daripada majoriti dan kemudian peralihan tampuk kepimpinan kepada pakatan pembangkang pada 2018.
Kurang dari satu penggal selepas PRU14, pentadbiran kerajaan persekutuan telah bertukar sebanyak tiga kali pada ketika ekonomi telah terjejas dek pandemik COVID-19.
Tidak pernah terpahat dalam sejarah negara, pertukaran tiga Perdana Menteri dan Kerajaan memerintah bersilih ganti kurang dari satu penggal ini telah memberi kesan negatif terhadap sosiopolitik-ekonomi negara.
Dalam menghadapi tahun 2023 yang mencabar, ketidaktentuan ekonomi global, tekanan inflasi akibat gangguan rantaian bekalan dan Ringgit yang lemah, Malaysia hanya memerlukan satu gabungan parti politik untuk memenangi pilihan raya kali ini.
Ini kerana hanya kemenangan majoriti sahaja akan menjadi kunci untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara, mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul, meningkatkan keyakinan pelabur serta komuniti perniagaan dan menjaga kebajikan setiap rakyat.
Apa Jadi Jika Ketidakstabilan Tiada Pengakhiran?
Jika drama kurang sepenggal 2018-2022 berulang di mana tiada gabungan parti politik yang memenangi PRU15, secara majoriti, sudah pasti ia akan merencat pertumbuhan ekonomi negara.
Yang pasti “skrip” yang sama bakal berulang, kebarangkalian tinggi perubahan kerajaan dan pertukaran Perdana Menteri akan meningkatkan ketidakpastian dasar pada masa hadapan dan bakal menyaksikan lebih banyak pelabur dan komuniti perniagaan keluar dari ekonomi negara dengan melabur di negara yang mempunyai ekonomi yang lebih produktif.
Ini kerana mereka lebih suka persekitaran politik yang lebih stabil.
Kenapa mereka memilih kestabilan politik? Buat pelabur dan komuniti perniagaan, baik domestik atau asing, mereka memerlukan negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi. Sebarang perubahan politik akan mewujudkan ketidakpastian mengenai dasar ekonomi.
Jika tampuk kepimpinan bersilih ganti, sudah pasti akan berlaku perubahan secara mendadak dan menyebabkan peralihan dasar ekonomi. Ini sesuatu yang amat ditakuti oleh setiap pelabur dan komuniti perniagaan.
Pelaburan dan perniagaan adalah usaha yang berisiko, jadi mereka tidak mahu terbeban dengan dasar dan tambahan dasar yang flip-flop (tidak menentu).
Undi Kerajaan Yang Betul
Dalam bersaing di peringkat ekonomi global dan meningkat daya tahan ekonomi negara, Bajet 2023 dilihat realistik untuk mencapai pembangunan ekonomi yang lebih mampan dengan tumpuan yang diberikan kepada empat segmen utama, iaitu rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan.
Ramai yang menyambut baik dan melahirkan penghargaan buat kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keprihatinan dan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat melalui Bajet 2023.
Andai Bajet 2023 dapat direalisasi dan dilaksanakan dengan betul, Malaysia dilihat mampu untuk kembali dan menjadi kuasa ekonomi utama di Asia dalam era digital.
Majoriti atau Gabungan Parti Untuk Bentuk Kerajaan?
Kurang daripada 14 hari sehingga PRU15, kempen panjang bakal bermula walaupun semua tahu perang propaganda sudah berlangsung sejak tahun lalu.
Membentuk kerajaan secara majoriti adalah matlamat buat semua gabungan parti yang bertanding kerana mereka sebaik mungkin cuba mengelak gabungan dengan parti politik lain untuk membentuk kerajaan.
Tetapi ia dilihat sukar pada PRU15 ini kerana melibatkan pertembungan antara 3 gabungan gergasi iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Suka atau tidak, kita semua sudah lihat dan tahu apa yang berlaku dan bakal berlaku jika kerajaan dibentuk mempunyai majoriti yang tipis.
Dalam mengakhiri siri ketidaktentuan politik, Malaysia memerlukan kerajaan yang dibentuk oleh undi majoriti. Ini kerana kestabilan politik akan membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran buat ekonomi dan rakyat.
Faktor penting juga ialah parti yang dipilih itu memiliki pengalaman di dalam mentadbir negara, terbukti mesra perniagaan, bukan potong atau batalkan projek sana-sini sesuka hati, kononnya atas prinsip pembaharuan. Rasanya ramai komuniti perniagaan termasuk syarikat korporat sudah serik dengan pengalaman lepas.
Hentikan perebutan kuasa kerana pilihan raya melibatkan kos yang tinggi. Alangkah baik jika kos pilihan raya ini dapat digunakan untuk pembangunan negara.
Oleh itu, pengundi perlu memilih gabungan parti politik yang dapat membentuk kerajaan yang kuat secara majoriti yang bertahan sepanjang penggal supaya pilihan raya tidak perlu dilaksanakan dengan kerap dan sebelum mencapai tempoh matang.
Buat gabungan parti politik yang bakal membentuk kerajaan selepas PRU15, hentikan ketidaktentuan politik ini!
Jadilah kerajaan yang bertanggungjawab, cakna rakyat dan mampu mengembalikan Malaysia sebagai “Tiger of Asia”! – DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat