Jualan #Keluarga Malaysia di 222 kawasan Parlimen bermula Sabtu ini - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Jualan #Keluarga Malaysia di 222 kawasan Parlimen bermula Sabtu ini - Ismail Sabri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) melawat gerai jualan yang terdapat pada Program Jualan Keluarga Malaysia KPDNHEP. Turut kelihatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, DatukSeri Alexander Nanta Linggi. - Gambar Bernama

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Program Jualan #Keluarga Malaysia akan bermula serentak di semua 222 kawasan Parlimen, esok sebagai langkah meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program jualan itu menawakan pelbagai barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 hingga 50% dan ia akan diadakan dua kali sebulan dengan fokus di kawasan ramai penduduk daripada golongan B40 serta M40.

 

"Sebagai permulaan, dua lokasi di setiap kawasan Parlimen yang ramai B40 dan M40 kerana golongan itu adalah yang terkesan teruk terutama selepas penularan COVID-19," katanya pada sidang media selepas melancarkan program Jualan #Keluarga Malaysia di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini hari ini, lapor Bernama. 

 

Program sehari itu merupakan usaha pelbagai pihak antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) selain syarikat swasta. 

 

Ismail Sabri berkata, penganjuran program Jualan #Keluarga Malaysia itu disasar diadakan sehingga Februari depan, bergantung kepada situasi semasa harga barangan.

 

Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan melalui beberapa kementerian bertanggungjawab mengimport bekalan seperti sayur dapat memastikan ia mencukupi di pasaran seterusnya menurunkan harga jualan. 

 

"Kalau harga barang jatuh sebelum Februari, jualan murah (Jualan #Keluarga Malaysia) ini tidak diteruskan, tapi kalau harga tidak turun jualan akan diteruskan… yang penting kerajaan sedar apa dialami rakyat dan tidak akan biarkan rakyat tanggung sendiri," katanya. 

 

Mengenai program hari ini, Ismail Sabri berterima kasih kepada 25 pemain industri runcit yang membantu kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat dengan menyediakan pelbagai barangan keperluan harian pada harga murah.

KM

Perdana Menteri berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan bermesyuarat bagi membincangkan punca kenaikan harga barangan ketika ini selain mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. 

 

Beliau berkata selain KPDNHEP, turut dilibatkan dalam mesyuarat itu ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pengangkutan.
 

"Pengangkutan sering juga dikatakan punca kenaikan harga barang, misalnya alasan tukar tayar. Bukan tiap bulan tukar tayar, tak kan nak dijadikan isu sebab itu kita panggil juga Kementerian Pengangkutan," katanya. - DagangNews.com