Jualan kereta dijangka terus meningkat walaupun tanpa pengecualian SST | DagangNews Skip to main content

Jualan kereta dijangka terus meningkat walaupun tanpa pengecualian SST

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Sektor automotif masih kekal tidak menentu pada separuh kedua ini hingga tahun hadapan meskipun masalah kekurangan cip automotif dilihat semakin mereda. 

 

Ini mendorong RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor itu dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebangai 615,000 bagi 2022.

 

Penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang berkata, kekurangan berterusan komponen utama dan kelewatan dalam pelancaran model baharu dijangka menjadi penghalang kepada pemulihan sektor automotif. 

 

Katanya, kekurangan cip automotif di peringkat global menunjukkan tanda-tanda reda, kerana pembuat cip seperti TSMC dan NXP Semiconductors melaporkan pertumbuhan dalam perniagaan cip automotif.

 

"Di Malaysia, Perodua telah mengumumkan bahawa ia memperoleh bekalan cip yang mencukupi untuk menghasilkan lebih daripada sasaran jualan 2022 sebanyak 247,800 unit.

 

"Walaupun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyebut sebelum ini berkaitan isu kekurangan cip yang berterusan dalam industri, kami mendapati bahawa syarikat automotif kurang bersuara mengenai isu ini, yang menunjukkan bahawa keadaan itu berkemungkinan reda," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut MAA, jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 48,922 unit pada Julai lalu berbanding 7,499 unit pada bulan sama tahun lalu.

 

Jualan kenderaan penumpang melonjak ketara kepada 43,594 unit pada Julai 2022 daripada 5,343 unit pada Julai 2021, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 5,328 unit daripada 2,156 unit.

 

Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jualan turut tinggi kepada 380,595 unit berbanding 256,677 unit dengan kenderaan penumpang naik kepada 337,331 unit berbanding 229,148 unit tempoh sama 2021 dan kenderaan komersial sebanyak 43,264 unit berbanding 27,529 unit tempoh sama 2021.

 

Bagaimanapun, TIV pada Julai 2022 adalah 23% lebih rendah berbanding Jun iaitu pada 63,563 unit.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, tempoh pengecualian jualan kereta dijangka mampan selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan  (SST) kerana pembatalan tempahan akan menjadi minimum dengan permintaan melebihi bekalan.

 

Ini kerana katanya, pesanan tertunggak yang banyak (sehingga 9 bulan) ditambah dengan komitmen kerajaan untuk menyerap SST untuk pesanan sebelum 30 Jun 2022, dan pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Mac 2023.

 

"Selain itu, pelancaran baharu Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dijangka dirangsang oleh pengecualian cukai jualan dan insentif kemudahan kenderaan elektrik (EV) lain sehingga 31 Disember 2025 (untuk CKD dan CBU sehingga 2023) akan menyokong pembangunan industri EV tempatan," katanya. 

 

Sehubungan itu, beliau mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif dengan unjuran TIV tahun ini sebanyak 600,000 unit berbanding unjuran MAA sebanyak 630,000 unit. - DagangNews.com