Jualan sektor hartanah tahun ini dijangka masih mendatar | DagangNews Skip to main content

Jualan sektor hartanah tahun ini dijangka masih mendatar

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Jun - Jualan hartanah tahun ini dijangka mendatar, menyamai sekitar tahun lalu meskipun pasaran mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi. 

 

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen berkata, pasaran hartanah masih dipengaruhi ketidaktentuan akibat tekanan inflasi, perubahan nilai ringgit dan potensi risiko kemelesetan di negara-negara barat boleh menjejaskan pemulihan permintaan. 

 

Katanya, di sebalik pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, jualan hartanah melantun semula dengan kukuh pada separuh kedua 2021, dirangsang juga oleh Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang sudah berakhir 31 Disember 2021.

 

"Pada masa sama, walaupun kami berpendapat kenaikan kadar faedah sepatutnya menjejaskan permintaan untuk hartanah, kesannya mungkin beransur-ansur kerana kadar gadai janji semasa masih agak sederhana berbanding 5 tahun lalu. 

 

"Sebaliknya, kadar faedah yang lebih tinggi boleh menjejaskan pemaju yang mempunyai penggearan tinggi, kerana kos pinjaman tambahan boleh menjejaskan lagi margin pembangunan, dan seterusnya, pendapatan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Namun, secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah buat masa ini. 

 

Menurut Kok Wen, meskipun kenaikan harga bahan mentah dan kos buruh adalah lebih tinggi, tetapi impak menyeluruh kepada pemaju adalah secara beransur-ansur kerana sesetengah kontrak telah diperoleh lebih awal.

 

Jelasnya, projek baharu akan menyaksikan margin yang lebih kecil berikutan ketidakupayaannya melepaskan kos pembinaan kepada pembeli rumah. 

 

"Malah, pemaju telahpun berdepan penurunan margin sejak 4 hingga 5 tahun lalu disebabkan diskaun dan rebat yang ditawarkan untuk melepaskan inventori yang tidak terjual, dan arah aliran (margin) ini dijangka berterusan," katanya.

 

Beliau berkata, tekanan kos akan berlarutan sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun ini meskipun sukar untuk meramalkan arah tuju harga komoditi berdasarkan kepada impak inflasi dalam ekonomi yang lebih meluas.

 

"Di samping itu, kami berpendapat masalah kekurangan tenaga buruh tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, kerana pelbagai sektor turut bersaing untuk mendapatkan bekalan buruh, sebaik sahaja ia tersedia," jelasnya.

 

Firma itu memilih saham pemaju perbandaran, Matrix Concepts Holdings Bhd. dan pemilik aset, IOI Properties Group sebagai pilihan bagi sektor hartanah memandangkan hasilnya dijangka lebih berdaya tahan. - DagangNews.com