Kadar tol empat lebuh raya di Lembah Klang tidak dinaikkan - PM | DagangNews Skip to main content

Kadar tol empat lebuh raya di Lembah Klang tidak dinaikkan - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat konsesi.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi, penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

 

"Setelah penelitian terperinci daripada semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang iaitu, Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuhraya KESAS dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd menguruskan SMART.

 

"Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya SPRINT dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya LDP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti mana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

 

"Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Penstrukturan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan. 

 

Katanya, perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya. - DagangNews.com