Kalau kerajaan ambil alih 4 lebuh raya, rakyat untung ke? | DagangNews Skip to main content

Kalau kerajaan ambil alih 4 lebuh raya, rakyat untung ke?

Lebuhraya Shah Alam (KESAS) mempunyai tempoh konsesi paling singkat yang akan tamat 2028.

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Cadangan untuk kerajaan mengambil alih lebuh raya di negara ini kembali bergema selepas 2 tahun membabitkan 4 lebuh raya milik Gamuda Bhd.

 

Syarikat tersebut dilaporkan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk melupuskan 4 konsesi lebuh rayanya menerusi dana amanah lebuh raya dikenali, Amanah Lebuh Raya Sdn. Bhd.

 

Menerusi cadangan itu, dana ini akan membiayai pengambialihan itu dengan mengumpul wang daripada pelabur bon dengan jaminan pulangan tahunan antara 4 hingga 5% disokong oleh aliran tunai tol tanpa memerlukan jaminan kerajaan. 

 

Bagaimanapun, apa manfaat kepada rakyat jika kerajaan bersetuju dengan cadangan kali ini? 

 

Analisis firma penyelidikan, Kenanga Research, menunjukkan cadangan itu dijangka menjimatkan pampasan baki konsesi tol yang perlu dibayar kerajaan sekitar RM5.3 bilion susulan kenaikan kadar tol akan dibekukan.

 

Namun, penganalisisnya, Lum Joe Shen berpendapat, meskipun tiada kenaikan tol tetapi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor, masih perlu membayar tol dengan tempoh yang lebih lama. 

 

Sebagai ganti kepada kenaikan tol, jelasnya, tempoh konsesi akan dilanjutkan secara tentatif selama 5 tahun dengan pilihan lagi 2 hingga 3 tahun lanjutan bagi menampung defisit bayaran balik dana amanah bon.

 

"Tetapi, cadangan ini boleh menjadi jalan terbaik pada masa depan, dan bukannya memilih kaedah pampasan dengan mengambil kira kedudukan fiskal yang lemah. 

 

"Kami percaya ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Gamuda dan Kerajaan Persekutuan tetapi juga penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Gamuda memiliki secara langsung 43.2% dalam Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd., mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Smart.

 

Berdasarkan anggarannya, nilai perusahaan (EV) bagi 4 lebuh raya ini bernilai RM5.2 bilion, lebih rendah berbanding penilaian yang dibuat pada 2019 setelah menghitung aliran tunai yang berkurangan dalam tempoh 2 tahun ini. 

 

"Dengan melihat kepada penilaian EV ini, kami anggarkan kesemua lebuh raya ini mempunyai nilai ekuiti berjumlah RM3.7 bilion dengan baki hutang RM1.5 bilion," katanya. 

 

Daripada kesemua lebuh raya itu, KESAS mempunyai tempoh konsesi paling singkat yang akan tamat 2028. Tempoh konsesi bagi LDP dan SPRINT pula masing-masing tamat 2030 dan 2034, manakala Smart (2042).

 

 

Lebuh raya SPRINT

 

 

Perbezaan dengan 2019

 

Ketika cadangan itu dikemukakan pada 2019, ia memerlukan kerajaan mengambil alih tol dan menjadi penjamin utama. 

 

Ia juga termasuk bayaran kesesakan yang mana kadar tol dikurangkan 30% ketika bukan waktu puncak dan perjalanan percuma ketika waktu sibuk.

 

Tetapi, kaedah ini dilihat menganggu aliran trafik di lebuh raya yang bersaing dengan pengangkutan awam, sekali gus menyebabkan ketidakseimbangan dalam rangkaian trafik.

 

Oleh itu, cadangan kali ini adalah lebih baik kepada kerajaan memandangkan ia bebas risiko, menurut Joe Shen.

 

"Jika cadangan ini menjadi kenyataan, pastinya ia akan membuka pintu kepada syarikat tol untuk menjual lebuh raya mereka yang sudah matang (menyediakan terma menarik yang ditawarkan kepada pelabur bon) untuk menyalurkan hasil kepada bidang pertumbuhan baharu, sekiranya ada peluang," katanya.

 

Berdasarkan laporan portal berbahasa Inggeris hujung minggu lalu, antara sebab kegagalan cadangan 2019 itu terutamanya kekurangan dari segi desakan dan ketidakstabilan politik dan kebimbangan bon yang diperoleh memerlukan jaminan kerajaan bagi memenuhi penebusan bon.

 

Dalam pada itu, menurut penganalisis CGS-CIMB, Shahrizan Rosely, meskipun Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan akan mengkaji perkara ini, tetapi rasional di sebalik cadangan ini tetap kekal tidak berubah. 

 

"Ini kerana ia bertujuan untuk memansuhkan pampasan tunai yang perlu dibayar kerajaan kepada syarikat konsesi lebuh raya pada masa akan datang kerana tidak membenarkan atau menangguhkan kenaikan tol dan membekukan kenaikan tol bagi lebuh raya utama, yang mana akan memberi manfaat kepada rakyat," jelasnya.

 

Fadillah pada 6 April lalu berkata, kerajaan membatalkan perancangan mengambil alih 4 lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda membabitkan nilai RM6.2 bilion, yang ditawarkan pada 2019.

 

Ia membabitkan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd, SPRINT, KESAS dan Smart.

 

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan pengambilalihan itu.

 

Bagaimanapun, menurut Fadillah, kerajaan sedang meneliti cadangan terbaharu daripada Gamuda dan syarikat pengendali lebuh raya dalam bandar yang lain, bagi menggantikan penyelesaian jangka panjang membabitkan isu tol.

 

Pada Jun 2019, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mengemuka tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya milik Gamuda membabitkan nilai RM6.2 bilion.

 

Tawaran itu membabitkan RM2.47 bilion untuk LITRAK, SPRINT (RM1.984 bilion), KESAS (RM1.377 bilion) dan Smart (RM369 juta).

 

Projek MRT3
Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang di sambung semula mulai pertengahan tahun ini selepas tertangguh ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH). - Gambar hiasan.

 

 

Gamuda, kerajaan dapat apa?

 

Menurut Shahrizan, Gamuda boleh menggunakan wang yang dijana daripada pengambilalihan itu untuk membiayai sebahagian pelan 10 tahun Penang South Islands (PSI). 

 

"Namun, masih terlalu awal untuk menilai bayaran dividen khas. Pada 2019, dengan perjanjian RM6.2 bilion, ia melibatkan hasil tunai sebanyak RM2.4 bilion daripada ekuiti lebuh raya pada 94 sen sesaham," katanya.

 

Sementara itu, Joe Shen berkata, Gamuda juga boleh melabur dalam pertumbuhan baharu dan pada masa sama dapat membebaskan mereka daripada risiko dasar, trafik dan kawal selia.

 

Antaranya, Gamuda boleh mengambil peluang ini dengan membabitkan diri dalam projek MRT3, memandangkan kerajaan berhasrat untuk mempunyai lebih banyak inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi projek awam. 

 

"Kami berpendapat, ini satu permulaan bagi Gamuda untuk terlibat dalam inisiatif ini, yang secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada kerajaan dengan mengurangkan beban aliran tunai bagi projek mega," tambahnya. - DagangNews.com