Kebenaran pengoperasian kilang rancakkan industri automotif | DagangNews Skip to main content

Kebenaran pengoperasian kilang rancakkan industri automotif

Kilang pengeluaran automotif

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kilang pengeluaran automotif yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bermula 16 Januari baru-baru ini adalah satu keputusan positif dalam merancakkan industri berkenaan.

 

Kenanga Research berkata, keputusan yang dibuat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)  itu harus dipuji demi pembangunan industri automotif.

 

"Kebenaran kilang pengeluaran beroperasi adalah satu keputusan positif bagi pembangunan industri automotif yang disokong oleh lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan sehingga 30 Jun 2021.

 

"Perkara itu juga membantu usaha untuk memenuhi dan mengatasi tempahan sedia ada," jelas Kenanga Research.

 

Terdahulu aktiviti pemasangan dan pembuatan automotif tidak disenaraikan dalam aktiti yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 2.0.

 

Bagaimanapun, MITI bertindak membenarkan semua kilang automotif untuk meneruskan operasi sekali gus memasukkannya dalam senarai perkhidmatan perlu untuk PKP 2.0.

 

Dalam nota kajian yang sama, Kenanga Research turut menjangkakan pemulihan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang lebih kukuh pada tahun 2021.

 

Susulan itu, sasaran TIV dijangka meningkat 14% tahun ke tahun iaitu kepada 585,000 unit.

 

Jangkaan yang diletakkan itu dinilai kepada pencapaian TIV pada 2020 yang diumumkan baru-baru ini.

 

Pada 2020, Perodua telah menjual sejumlah 220,154 unit kenderaan, manakala Toyota (59,320 unit) dan Proton (109,716 unit).

 

Jumlah yang dicatatkan pada 2020 itu melebihi sasaran jualan awal masing-masing.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap industri automotif," tambah Kenanga Research lagi. - DagangNews.com