Kekurangan tenaga buruh mungkin beri kesan kepada syarikat perladangan | DagangNews Skip to main content

Kekurangan tenaga buruh mungkin beri kesan kepada syarikat perladangan

SEORANG pekerja memungut tandan kelapa sawit. - Gambar ihsan MPOC

PUTRAJAYA 13 Jan - Sehingga kekosongan kerja di ladang kelapa sawit diisi, situasi kekurangan tenaga buruh berkemungkinan akan menjadi lebih teruk bagi syarikat perladangan pada suku pertama tahun 2022 sebelum keadaan bertambah baik, kata Sime Darby Plantation Bhd (SDP).

 

Pengarah Urusannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, industri itu kekurangan 70,000 pekerja kerana pintu sempadan ditutup untuk mencegah penularan COVID-19 dan sehingga kekosongan jawatan tersebut diisi, keadaan akan menjadi buruk.

 

“Kekurangan tenaga buruh telah mengakibatkan kehilangan hasil cukai kepada kerajaan dan kita harus mencari peluang lain dan tidak bergantung kepada pekerja asing,” katanya pada Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2022 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Kekurangan pekerja dikenal pasti sebagai punca penurunan 20-30 peratus dalam pengeluaran buah tandan segar (FFB).


 

Helmy Othman Basha
                                            Helmy Othman Basha

 


Sementara itu, Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Industri MPOB, Fauziah Arshad berkata, kerajaan perlu merangka  dasar yang relevan untuk memastikan minyak sawit Malaysia terus relevan.

 

"Minyak sawit (industri) kita mungkin tidak berkembang cemerlang seperti sebelum ini kerana kawasan ladang terhad dan kita tidak boleh membandingkan jumlahnya dengan Indonesia. Bagaimanapun, kita boleh mengukuhkan peluang eksport.

 

"Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki adalah contoh kejayaan dalam eksport minyak sawit yang diproses.

 

''Oleh itu, kita harus menyemak pengaturan perdagangan dua hala untuk meningkatkan perdagangan kita dengan negara pengimport," katanya.


 

 Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Industri MPOB, Fauziah Arshad
                                        Fauziah Arshad

 


Fauziah berkata, walaupun eksport minyak sawit Malaysia telah mencapai 90% daripada pengeluarannya, nisbah eksport antara minyak sawit yang diproses dan mentah telah menurun dan sekiranya ia berterusan, Malaysia tidak akan dapat mencapai sasaran pengembangan hilirannya.

 

Timbalan Presiden Gabungan Industri Biojisim Malaysia (MBIC), Kester Chin pula berkata, pengeluaran dan pemprosesan biojisim tidak mencapai potensi sepenuhnya. "Jumlah nilai biojisim ialah 95 juta tan tetapi hanya 28 juta tan yang digerakkan," katanya.


 

 Kester Chin
    Kester Chin

 


Chin berkata, kerajaan harus mencari penyelesaian kepada cabaran tersebut, antaranya ialah berunding dengan MBIC serta mencari akses kepada pembiayaan untuk usaha niaga biojisim. - DagangNews.com