Kelemahan ringgit lonjak inflasi makanan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kelemahan ringgit lonjak inflasi makanan - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - Penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga 5.5% tahun ke tahun pada Ogos, menghampiri paras terendah lima tahun telah menyebabkan lonjakan sebahagian inflasi makanan memandangkan Malaysia merupakan negara pengimport bersih makanan, demikian menurut MIDF Research.

 

Pada bulan tersebut, inflasi makanan melonjak sehingga 7.2% tahun ke tahun, tertinggi pernah direkodkan setakat ini dengan makanan di dalam dan luar rumah masing-masing mencecah 6.4% dan 8.4% tahun ke tahun.

 

Menurut firma itu, dalam persekitaran harga komoditi global yang meningkat dan kelemahan ringgit, tekanan inflasi di Malaysia dipengaruhi oleh inflasi makanan import yang lebih tinggi.

 

Ia menjangkakan ringgit akan terus berada dalam aliran lemah sekurang-kurangnya sehingga suku keempat tahun ini berikutan langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) terus meningkatkan kadar faedahnya.

 

Namun, katanya, inflasi makanan domestik Malaysia akan berkurangan secara sederhana pada separuh kedua 2022 berikutan penurunan harga komoditi global terutamanya harga berkaitan pertanian.

 

"Di samping itu, inflasi makanan global seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turun ke paras terendah 20 bulan sekitar 7.9% tahun ke tahun pada Ogos. 

 

"Antara komponen tersebut, inflasi minyak dan gula global masing-masing mencatatkan kadar penguncupan 1.5% dan 8.4% tahun ke tahun, penurunan pertama sejak pertengahan 2020.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran indeks harga purata (IHP) purata pada 2.8% bagi tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Kadar inflasi Ogos 2022 di Malaysia kini 4.7%

 

Kadar inflasi Malaysia pada Ogos meningkat kepada 4.7% berbanding 4.4% pada Julai, berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada bulan lalu, kumpulan makanan & minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 7.2%.

 

Kenaikan ini, didorong oleh komponen makanan di luar rumah yang meningkat sebanyak 8.4% manakala makanan di rumah meningkat sebanyak 6.4%.

 

Beliau berkata, kadar inflasi di Malaysia adalah antara terendah di dunia memandangkan inflasi zon Euro pada Ogos adalah sebanyak 9.1%, AS (8.3%), Thailand (7.9%), Filipina (6.3%) dan Korea Selatan (5.7%).

 

Sementara itu, menurut MIDF Research, kerajaan dijangka mengekalkan mekanisme subsidi bahan api sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

 

Harga bahan api, katanya, mencatat pertumbuhan 4.9% tahun ke tahun dan menguncup 0.9% bulan ke bulan pada Ogos, penurunan bulanan paling ketara sejak Disember 2020.

 

"Ini adalah sejajar dengan penurunan harga komoditi memandangkan Brent berlegar pada purata AS$96.5 setong pada Ogos selepas mencecah melebihi AS$100 setong sejak Februari lalu.

 

"Selagi kerajaan mengekalkan mekanisme subsidi bahan api semasa, kami melihat inflasi bahan api dan tekanan inflasi keseluruhan terus kekal stabil," jelasnya. - DagangNews.com