Kelington dapat kontrak RM420 juta bina, baik pulih kilang di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Kelington dapat kontrak RM420 juta bina, baik pulih kilang di Sarawak

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Syarikat kejuruteraan bersepadu, Kelington Group Berhad menerusi anak syarikat penuhnya, Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB) meraih kontrak RM420 juta melibatkan kerja-kerja membaik pulih dan membina kilang di Sarawak.

 

Tanpa mendedahkan nama klien, Kelington dalam sebuah kenyataan hanya menyebut kerja pembinaan dan membaik pulih itu untuk ‘sebuah syarikat pembuatan, yang dimiliki oleh syarikat penyelesaian dan perkhidmatan penyimpanan data terkemuka dunia’.

 

Perolehan kontrak berkenaan sekali gus melonjakkan jumlah projek yang dimilikinya kepada paras tertinggi kira-kira RM764 juta setakat tahun ini, meningkat 56% daripada kemenangan kontrak  iaitu RM490 juta pada tahun 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Ir. Raymond Gan berkata, kumpulan berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan dengan klien tersebut serta terus memainkan peranan dalam proses pengembangan syarikat itu di Malaysia.

 

“Ini merupakan satu penghargaan oleh peneraju industri yang bereputasi tinggi, untuk bersama-sama mereka dalam meluaskan perniagaan di Sarawak. 

 

“Projek mercu tanda ini akan membuka lebih banyak peluang bagi kami dan mendorong Kelington ke arah pertumbuhan yang lebih besar dalam industri elektronik.

 

"Lanskap operasi di segmen perniagaan kami bertambah baik kerana kami melihat lebih banyak aktiviti pengembangan yang diteruskan, menjangkaui industri semikonduktor. Jemputan tender meningkat terutamanya di Singapura dan Malaysia selepas terhenti sementara pada awal tahun ini kerana penutupan sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Gan, kumpulan juga memilih projek yang membolehkan mereka menyeimbangkan skala dan keberuntungan untuk mengotimumkan kapasiti mereka.

 

Kelington dalam masa sama juga akan mempercepatkan usaha mereka untuk mengembangkan pesanan buku yang berbaki RM902 juta.

 

“Mengambil kira pengisian semula pesanan buku yang mampan, kami berada di landasan tempat untuk menyaksikan tahun kewangan yang memberangsangkan,” jelas Gan. - DagangNews.com