Kemegahan Tekstil Alam Melayu - Koleksi Peribadi John Ang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 30 July 2022

Kemegahan Tekstil Alam Melayu - Koleksi Peribadi John Ang

 

 

 

Hikayat Malim Deman

Hikayat Malim Deman begitu sarat dengan kisah kehidupan zaman dahulukala termasuk menerangkan adab dan adat Melayu.

 

Baik adat berperang atau bertandang ada ditulis dalam hikayat lama. Begitu juga busana Melayu mendapat perhatian dalam Hikayat Melayu. 

 

 

john ang

 

 

Contohnya kepelbagaian tekstil dan asal usul dari mana ia didagangkan ada diceritakan seperti yang tertera di atas dalam Hikayat Malim Deman.

 

Petikan di bawah mencerita kisah Malim Deman ingin merantau jauh dan ingin masuk mengadap Ayahandanya.

 

Bajunya beledu tengkuk kuning

Kain cindai berambu kuning

Selempang kain Bugis Kembayat

Bukan buatan orang sini

Buatan orang di udara

 

Kita  dapat membayangkan warna, tekstur kain, dari mana datangnya dan keunikan ‘Bajunya beledu tengkuk kuning.”

 

Kini, kita tidak perlu lagi membayangkan keindahan busana Dunia Melayu kerana apabila pergi melawat pameran “Splendours of Malay World Textiles” yang mempamerkan koleksi peribadi John Ang, bayangan yang digambarkan Hikayat Malim Deman terserlah di hadapan mata. 

 

 

john ang
                                            JOHN ANG

 

 

Pameran ini adalah antara acara paling gah Dunia Melayu yang pernah saya hadiri.  Daripada penceramah jemputan, hinggalah kepada persembahan perasmian yang diketuai oleh Juita Abdul Jalil dan limpahan layanan mesra adab budaya Melayu.

 

Namun begitu, pameran Splendours of the Malay World Textile di Tingkat 5 Menara Ken TTDI itulah kemuncak acara. Koleksi yang menunjukan keanggunan abadi menceritakan sejarah Alam Melayu.  Palembang.  Jambi.  Patani.  Kelantan.  Terengganu.

 

Kita sedia maklum kain jenis Songket, Tenun dan batik seluruh negara dan Nusantara. Dari Sarawak ke Kelantan Ada pelbagai alat tenun. Namun menurut John Ang ada 12 kategori jenis tekstil Dunia Melayu. Songket, Limar, Telepuk/Prada, Tekatan/Sulaman, Pelangi, Ikat Loseng, Tenunan, Tapestry, Cetakan, Batik, Renda dan Anyaman. 

 

Tekstil dan pemakaian senjata dan assessori begitu sinonim dalam budaya kita. Kita lihat pantun…

 

Apa guna berkain batik

Kalaulah tidak dengan kainnya

Apalah guna beristri cantik

Kalaulah tidak jujur hatinya

 

Dari Jawa ke Bengkahulu

Membeli keris di Inderagiri

Kawan ketawa ramai selalu

Kawan menangis seorang diri

 

Tekstil juga digunakan untuk pelbagai kegunaan melambangkan status dan keadaan ekonomi seseorang. Hadiah diraja berbentuk sepersalinan diraja. Begitu tinggi darjatnya. 

 

Seperti dikatakan tadi, busana amat penting dalam segala aktiviti Dunia Melayu dari segi jenis dan cara pemakaian. 

 

Contohnya, bahagian pertama pameran menonjolkan kain pelapek khas untuk bayi baru lahir.  Khas untuk majlis bercukur bayi yang diamalkan masyarakat lama. 

 

 

hikayat

 

 

Teringat saya kisah Hikayat Malim Deman yang menceritakan buaian anakandanya Malim Demana dibuat dari kain tujuh jenis, pelbagai warna dan citarasa termasuk jong sarat, cindai, kain Bali, Campa dan Ainulbanat.

 

Berbalik kepada pameran Splendours of Malay World Textile, hiasan aksesori juga amat penting dari ‘

 

Tambahan pula, tidak disangka-sangka suasana pameran turut diserikan dengan alunan gamelan Melayu berkumandang menambah seri majlis di tengah-tengah pameran. 

 

Begitu teliti program pameran ini yang mementingkan aspek visual, muzik dan keterangan terperinci. 

 

Hos yang berpengetahuan luas berpakaian elegan untuk setiap bahagian menerangkan tekstil, latar belakang dan ciri uniknya.

 

 "John Ang mendapati bahawa dunia merekabentuk dan menghasilkan koleksi terbaik untuk Alam Melayu."

 

 “Petak yang indah bagi corak bertanda ini tidak dilukis.  Ia ditenun menghasilkan bentuk petak dalam petak dalam petak. Begitu halus dan teliti.  Penenun mungkin telah kehilangan penglihatan mereka membuat karya agung ini…”

 

“Pada kurun ke 19, terdapat Batik yang meraikan pameran inovasi sedunia, kapal terbang, peloporan angkasa lepas.”

 

Tidak dapat dinafikan, John Ang telah menyerahkan jiwa dan raganya dalam mendalami  Dunia Tekstil Melayu. Sewaktu membuat ucapannya di majlis tersebut, John Ang terkedu sayu dan hiba. Begitu sayangkan Dunia Melayu. John juga mempelajari Zapin untuk melengkapkan diri dengan falsafah Dunia Melayu.  

 

 

john ang

 

 

Tahniah, insan yang bernama John Ang.  Pameran ini merupakan acara kemuncak sejak 2014, apabila menemui tekstil Melayu pertama koleksi beliau dan terus mengumpul 700 artifak dan tekstil dan telah ke seluruh pelusuk dunia Melayu seperti Patani, Kalimantan, Pontianak, Makassar. Luar biasa.

 

Dari Makasar pergi Palembang,

Lalu di Ambon ke Majapahit;

Sungguh kasar kainnya jarang,

Kalau ditenun menjadi baik. 

 

Datanglah beramai-ramai ke KEN TTDI untuk menyaksikan pameran ini sehingga 30 Oktober. Bawalah keluarga terutamanya anak muda supaya mengenali khazanah warisan bangsa. 

 

Allahyarhamah Azah Aziz pencinta busana Melayu. Saya begitu bertuah pernah ke rumahnya yang lama kerana Allahyarhamah menunjukkan koleksi batik berlabuci dan cara menggerus kain sebelum pamerannya pada tahun 1990.

 

Terdapat papan congkak tercantik saya pernah lihat di ruang tamunya.


 

Azah Aziz
Allahyarhamah Azah Aziz

 


Beliau pernah mengatakan, ““bahawa orang Melayu begitu terpesona, terharu dan kagum terhadap unsur-unsur alam dengan segala hikmah, rahsia, khazanah dan kias-ibaratnya, jelas terpancar dalam bentuk dan rupa, corak dan warna serta kata-kata yang lahir dalam segala bidang ciptaannya – sepertilah ia terpancar dan abadi dalam puisi agung Melayu, yakni pantun. Awan berarak yang dihembus pawana menderu di angkasa biru. Ombak menghempas yang bergema di pantai sunyi yang lumat pasirnya. Sungai mengalir yang membelah belantara tebal, hijau dan gelap dengan sekalian penghuninya. Bulan mengambang tinggi yang sayup cahayanya di langit cerah dinihari. Dan bintang bertaburan yang mengerdip nun jauh di langit malam yang legam…”

 

“Songket limar awannya cemerlang,
          Pakaian raja zaman dahulu;
Tuan laksana bulan mengambang,
         Cahaya menusuk ke dalam kalbu.”

 

Melalui keindahan tekstil dan budaya Melayu, kenalilah bangsa Melayu yang mencintai seni dan budaya serta  keindahan alam semesta terbentang luas.

 _________________________________

 TIKET KE PAMERAN

 Kemegahan Tekstil Alam Melayu
 Pameran, Bazar, Kuliah dan Bengkel Artisan
 Tarikh: 24 Julai - 30 Oktober
 Masa: 10:30 pagi - 6:30 petang (Dibuka setiap hari)
 Venue: M Floor, Hall 1, Menara KEN TTDI, 37 Jalan Burhanuddin Helmi, Kuala Lumpur, 60000 Malaysia
 Tiket untuk pameran oleh dibeli di laman web www.johnang.com.my atau di pintu masuk.

 

 

john ang

 

 #splendoursofthemalayworldtextiles

 #johnang

 #alifeinspiredbyhikayat

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA
Portfolio Tags