Kementerian, Kerajaan Negeri perlu komited realisasikan `ujikaji peraturan' swasta-awam, kata PM | DagangNews Skip to main content

Kementerian, Kerajaan Negeri perlu komited realisasikan `ujikaji peraturan' swasta-awam, kata PM

PUTRAJAYA 24 Nov – Kementerian-kementerian, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu komited merealisasikan program ujikaji peraturan (regulatory experimentation) yang melibatkan pemegang taruh awam dan swasta.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Ismail berkata, kedua-dua pihak awam dan swasta akan secara bersama menilai kecekapan dan kesesuaian peraturan sedia ada.

 

‘’Seterusnya mereka akan mencadangkan beberapa kelonggaran peraturan berpandukan saranan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

 

‘’Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat membantu memudah cara urusan perniagaan seperti kelulusan permit pembinaan dan lesen operasi perniagaan di peringkat Persekutuan mahu pun Negeri,’’ kata beliau.

 

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi membincangkan strategi memulih dan memperkukuh ekonomi negara pasca COVID-19 khususnya dengan meningkatkan usaha memudah cara urusan perniagaan serta memperkukuh perdagangan Malaysia.

 

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta wakil-wakil ahli perniagaan yang mewakili industri melibatkan ekonomi.

 

Perdana Menteri berkata, dalam persediaan menuju ke fasa endemik dan selari dengan pertumbuhan ekonomi global yang semakin rancak, usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing dan meningkatkan produktiviti wajar dijadikan agenda utama di setiap peringkat pentadbiran Kerajaan Pusat serta Kerajaan Negeri.

 

Antara keputusan mesyuarat termasuklah:

1. Inisiatif #MyMudah akan diperkukuhkan melalui penubuhan Unit #MyMudah di semua Kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan. Unit yang sama juga dicadangkan ditubuhkan di peringkat Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta persatuan industri perlu bersama-sama memudahkan operasi perniagaan. Unit ini berfungsi untuk mengadakan semakan peraturan secara terancang bagi memudahkan persekitaran perniagaan untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing;

 

2. Secara prinsip bersetuju untuk membangunkan Platform Acara Perdagangan Bersepadu (Intergrated Trade Events Platform) khusus untuk mempromosi bagi mempertingkatkan daya saing perdagangan dan nilai eksport negara secara digital selaras dengan landskap perdagangan baharu di era pendigitalan; dan

 

3. Secara prinsip bersetuju mewujudkan Portal Maklumat Tunggal (Single Information Platform) iaitu portal komprehensif merangkumi semua maklumat merentasi rantaian nilai eksport untuk memudahkan syarikat Malaysia terlibat secara aktif di peringkat global.

 

Perdana Menteri berkata, satu penanda aras antarabangsa juga akan dibuat terhadap negara-negara yang dikenal pasti mempunyai persekitaran perniagaan kondusif, khususnya dalam aspek pendigitalan, model perniagaan yang efisien, keterbukaan pasaran dan tahap sokongan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

‘’Dalam soal meningkatkan daya saing eksport negara, aspek pendigitalan ekosistem perniagaan dikenal pasti sebagai salah komponen utama dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (RTPN) 2021-2025 yang telah dilancarkan.

 

‘’Di samping itu, negara juga menyasarkan peningkatan sumbangan eksport sektor PMKS daripada 8.5% pada tahun 2020 kepada 25% daripada jumlah keseluruhan eksport negara selari dengan sasaran yang ditetapkan dalam RMKe-12,’’ ujar beliau.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya melalui pemulihan sektor ekonomi yang akan menekankan kepada keupayaan daya saing industri dan penciptaan peluang. – DagangNews.com