Kementerian Kesihatan digesa segera gubal undang-undang vape | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kesihatan digesa segera gubal undang-undang vape

Undang-undang produk vape tidak boleh digabungkan dengan produk tembakau kerana kedua-dua produk ini tersebut tidak sama.

KUALA LUMPUR 8 Mac – Kementerian Kesihatan tidak seharusnya menangguhkan pembentangan undang-undang berkaitan produk vape kerana peraturan harus diperkenalkan segera bagi memastikan pengguna mendapat akses kepada produk terkawal, kata sebuah persatuan pengguna hari ini.

 

Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, sejak 2016, kerajaan telah menyatakan bahawa satu undang-undang akan diperkenalkan untuk mengawal selia produk vape.

 

Tetapi sehingga kini kata beliau, masih tiada undang-undang diperkenalkan terutama yang mampu mengawal penggunaan bawah umur dan memastikan pengguna mendapat akses kepada produk yang berkualiti dan menepati standard keselamatan.

 

“Menteri Kesihatan sebelum ini berkata bahawa satu undang-undang akan dibentangkan pada sidang Parlimen pertama tahun ini namun ia telah ditangguhkan lagi.

 

''Kelewatan itu bermakna masih tiada peraturan yang ditetapkan mengenai produk vape walaupun mempunyai lebih sejuta pengguna di Malaysia. Kita tidak boleh terus meminta pengguna mengakses produk tidak terkawal di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kenyataan MVA itu dibuat berikutan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengatakan bahawa pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok ditangguhkan memandangkan ia perlu menjalani beberapa lagi sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan, termasuk industri tembakau dan vape.

 

Daripada menunggu pembentangan rang undang-undang di Parlimen yang masih boleh ditangguhkan, Khairil mencadangkan Kerajaan mencari penyelesaian alternatif dengan segera sekiranya serius dalam melaksanakan kawalan terhadap industri vape.

 

“Kementerian Kesihatan telah pun menyatakan bahawa ia bertentangan dengan peraturan semasa untuk orang ramai menghisap vape di tempat awam dan kedai makan. Ini bermakna sudah ada peraturan.

 

''Oleh itu, daripada menunggu rang undang-undang yang akan mengambil masa sangat lama, Kementerian Kesihatan harus melihat kepada memperkenalkan peraturan terlebih dahulu terutama untuk produk vape.

 

''Ini bagi memastikan terdapat standard kualiti dan keselamatan yang ditetapkan bagi menjaga kepentingan pengguna di Malaysia,” kata Khairil.

 

Ia juga secara tidak langsung akan membantu Kerajaan dalam mengutip hasil cukai daripada produk vape yang sah seperti yang dibentangkan semasa Bajet2022.

 

 

Khairil Azizi Khairuddin
                          Khairil Azizi Khairuddin

 

 

Menteri Kewangan telah pun mengumumkan cukai ke atas cecair vape yang mengandungi nikotin, yang telah ditangguhkan kerana rang undang-undang itu masih belum dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen.

 

“Jika Menteri Kesihatan boleh memperkenalkan peraturan sekarang, beliau bukan sahaja dapat memastikan pengguna mendapat akses kepada produk terkawal yang memenuhi standard keselamatan dan kualiti, tetapi ia juga membolehkan Kerajaan mula mengutip hasil cukai daripada produk vape,” tambah Khairil.

 

Selain itu, beliau juga berkata undang-undang produk vape tidak boleh digabungkan dengan produk tembakau kerana kedua-dua produk ini tersebut tidak sama.

 

“Jika kelewatan itu kerana Kementerian Kesihatan mahu memuktamadkan undang-undang mengenai produk tembakau, maka penyelesaiannya mudah.

 

''Apa yang Kementerian perlu lakukan ialah mengasingkan undang-undang produk vape dengan produk tembakau kerana kedua-dua produk ini tidak sama.

 

''Banyak negara di seluruh dunia mengawal selia vape secara berasingan daripada produk tembakau kerana ia tidak sama. Malaysia juga harus laksanakannya seperti itu,” kata Khairil.

 

The Malaysian Vapers Alliance (MVA) adalah kumpulan advokasi tidak berkeuntungan yang memperjuangkan penggunaan produk vape untuk membantu perokok berhenti merokok. – DagangNews.com