Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 29 December 2021

Harapan 2022 buat Malaysia

 

 

HARI ini tanggal 29 Disember 2021. Tinggal 3 hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2021 ini dan akan melangkah ke tahun baharu 2022.

 

Pastinya setiap kemunculan tahun baharu masihi ini akan membawa harapan baharu kepada rakyat, perniagaan mahupun negara? Apakah harapan rakyat kepada negara untuk tahun 2022 ini?

 

Sebelum merungkai apakah harapan rakyat dan negara tahun 2022 ini, kita perlu menoleh ke belakang melihat apa yang telah berlaku pada tahun 2021 ini yang perlu diingat sebagai “satu sejarah negara kelak”

 

Negara Mencipta Sejarah Dengan Pelaksanaan PICK

Pastinya tahun 2021 ini, yang sentiasa diingati pastinya COVID-19 yang masih belum selesai sejak Mac 2020.

 

Malaysia mencipta sejarah baharu dengan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Malaysia bermula 24 Februari 2021.

 

PM

 

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin COVID-19 keluaran Pfizer–BioNTech dan  disiarkan secara langsung di seluruh negara.

 

Walaupun di awal pelaksanaan PICK ini mendapat pelbagai kecaman dari pelbagai pihak yang mempersoalkan keselamatan vaksin,  pengurusan pelaksanaannya dan lain-lain lagi.

 

Golongan anti-vaksin terus membobok-boboknya kesannya sehingga ramai rakyat yang takut untuk mengambil vaksin.

 

Berjayakah PICK? Sehingga 25 Disember 2021, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 22,834,352 individu atau 97.5% populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

Jawapannya ya. PICK di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan baik. “Hero” di sebalik kejayaan PICK ini pastinya Khairy Jamaluddin dari Menteri Sains dan Inovasi ke Menteri Kesihatan yang “bersilat” membawa rakyat Malaysia “bebas” dengan kehidupan normal.

 

Perdana Menteri Bertukar Tangan

Dalam negara cuba menjalankan PICK sebaik mungkin, “serangan kedua” COVID-19 mencemaskan rakyat dan negara. Tatkala inilah, ribuan rakyat “tewas” dek kerana virus ini.

 

Muhyiddin

 

Saban hari kita menangisi pemergian ahli keluarga terdekat dan sahabat handai. Dalam keadaan “nazak”, negara dikejutkan pula dengan pergelutan politik.

 

Jawatan Perdana Menteri terus menjadi perebutan pemimpin-pemimpin utama parti di Malaysia. Rakyat sangat kesal, sedih dan kecewa dengan keabsahan pemimpin politik ini.

 

Akhirnya, pada 23 Ogos 2021 Datuk Seri Ismail Sabri secara rasmi dipilih menjadi Perdana Menteri baharu. Sekali lagi “kerajaan pintu belakang” dibentuk.

 

Ismail Sabri dianggap calon yang paling tepat dalam meneruskan proses pemulihan negara dan menstabilkan ledakan politik negara.

 

Bantahan Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN

Selepas Ismail Sabri sah menjadi Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin, Muhyiddin pula dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan keputusan jemaah Menteri pada 1 September 2021.

 

Pastinya, Muhyiddin yang ditumbangkan sebagai perdana menteri kemudiannya dilantik untuk turut serta dalam kerajaan mendapat bantahan sesetengah pihak.

 

Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN dibantah oleh 116 NGO yang menuntut Majlis Raja-raja agar memperkenan penstrukturan semula MPN.

 

Namun, Ismail Sabri mengekalkan keputusannya melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN atas faktor kerajaan yakin terhadap kemampuannya menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

Ini juga dalam sejarah baharu negara apabila bukan Menteri dari kabinet kerajaan dilantik memegang jawatan penting atau utama negara.

 

Kejutan Ismail Sabri

Pada 13 September 2021, Ismail Sabri mencipta sejarah “luar biasa” apabila buat pertama kalinya berjaya membawa pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kelestarian Politik.

 

PM

 

Kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri dan blok pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk satu kerjasama “dwi-partisan”.

 

MoU ini telah meredakan krisis politik negara buat seketika. Namun adakah MoU ini betul-betul berkesan hingga kini, atau hanya sekadar di atas kertas?

 

Pengangguran tertinggi sejak 27 tahun lalu

Kesan pandemik dan ketidakupayaan kerajaan mengawal lengkungan pandemik yang menyebabkan Malaysia melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan kesannya jumlah pengangguran di Malaysia hampir mencecah 1 juta orang.

 

Jumlah ini satu sejarah terburuk buat Malaysia sejak 27 tahun yang lalu. Keadaan ini merupakan satu petanda yang buruk kepada masa depan ekonomi negara.

 

Kerajaan terus bertindak pantas untuk mengelakkan self-fullfiling prophecy kerana apabila rakyat merasakan prospek kekal kabur, mereka akan berhati-hati untuk berbelanja sekaligus membawa kepada kelembapan ekonomi yang berpanjangan dengan pelbagai pelan tindakan.
 

PM

Tiga bantuan utama yang melibatkan implikasi kewangan daripada pihak kerajaan adalah Bantuan Khas COVID-19, Program Subsidi Upah 4.0 dan juga Geran Khas Prihatin 4.0 melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN, PENJANA, PERMAI, PEMERKASA dan PEMULIH adalah bagi membantu mengurangkan kesan pengganda pengangguran ini.

 

Pembentangan RMke-12 “Bergaya” Ismail Sabri

Ismail Sabri telah membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12 bertemakan 'Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan' dengan penuh bergaya.

 

RMK-12 dengan peruntukkan sebanyak RM400 bilion dengan 8 fokus utama memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar untuk tempoh 2021 hingga 2025.

 

Ismail Sabri berjanji kerajaan akan memacu KDNK negara sebanyak 4.5% hingga 5.5% setahun sepanjang RMK-12. Selain itu, RMK-12 juga menyasarkan pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2% pembuatan 5.7%, pertanian 3.8%, perlombongan dan pengkuarian 2.6% serta pembinaan 4.2%.

 

PM

 

Rakyat mula berasa yakin dengan kepimpinan Ismail Sabri selepas pembentangan RMke-12 yang dibuat beliau dengan matlamat dan hala tuju yang jelas membawa negara ke arah ekonomi yang lebih mampan sehingga tahun 2025.

 

Bajet 2022: Bajet Terbesar Dalam Sejarah Negara

Selepas RMke-12, pembentangan Bajet 2022 pula dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berjumlah RM332.1 bilion menjadi bajet terbesar dalam sejarah Malaysia.

 

Bajet yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera mendokong 3 paksi iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan dan ekonomi yang makmur dan mampan

 

Kerajaan menyasarkan peningkatan hasil kerajaan sekitar RM234 bilion ringgit sahaja pada tahun 2022.Maka, defisit Bajet 2022 sebanyak RM98.1 bilion.

 

Dengan defisit fiskal RM98.1 bilion, dasar fiskal mengembang akan dikekalkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, dengan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara.

 

Mampukah negara menampung defisit RM98.1 bilion dengan dasar fiskal mengembang ini? Kita tunggu dan lihat sahaja tahun 2022 nanti.

 

Kredibiliti Kerajaan Diuji Semasa Banjir

Ismail Sabri sekali lagi membawa pembaharuan apabila secara berani dan telus dalam penilaian prestasi kerajaan umumnya dan kementerian dan Menteri khususnya.

 

Ini adalah tindakan baharu dalam kerajaan. Kerajaan sebelum-sebelum ini tidak pernah memberi ruang penilaian secara terbuka seperti ini.

 

Penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian prestasi kerajaan dan ianya satu sejarah baharu buat negara.

 

PM

 

Baru sahaja mengumumkan pencapaian keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri yang mencapai sekitar 90%, kredibiliti kerajaan dan Menteri diuji di penghujung tahun 2021 ini dengan dikatakan “lemah dan gagal” dalam pengurusan banjir negara.

 

Kerajaan perlu segera perhalusi peranan dan fungsi NADMA yang mana agensi ini adalah peneraju pengurusan bencana di Malaysia ini.

 

Melangkah ke Tahun 2022

Apa yang rakyat mahukan adalah mereka mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup. Begitulah dengan perniagaan yang mahukan persekitaran ekonomi yang baik.

 

Adakah semua  ini terletak dibahu kerajaan semata-mata?

Kejayaan sama ada RMke-12 dan Bajet 2022 untuk mencapai sasarannya dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pengagihan hasil yang saksama, kerajaan perlu mengambil pendekatan “Whole-of-Nation” yang mana penglibatan keseluruhan entiti negara tidak kira agensi kerajaan, industri mahupun masyarakat.

 

Inilah masa untuk buktikan slogan “Keluarga Malaysia”. Kebersamaan semua pihak supaya berusaha dengan sepenuh komitmen untuk membangunkan semula negara secara mampan bagi membolehkan setiap entiti “Keluarga Malaysia” tanpa mengira agama, bangsa dan kaum menikmati kesejahteraan hidup yang baik di negara tercinta ini.

 

PM

 

Moga tahun 2022 nanti, kesan limpahan luaran dari pemulihan permintaan global, termasuklah aktiviti perdagangan akan terus meningkat dan  menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

 

Moga harapan ini membawa sinar yang baik buat rakyat Malaysia. Ayuh kita bersedia hadapi tahun 2022!  - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.
 
KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI
Portfolio Tags