Kerajaan mampu suntik fiskal lagi - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Kerajaan mampu suntik fiskal lagi - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Harga minyak dan gas yang lebih tinggi memberi ruang kepada kerajaan untuk memperuntukkan sokongan fiskal lanjut. 

 

Ketua Ahli Ekonomi HSBC Global Research, ASEAN, Joseph Incalcaterra melihat kerajaan mungkin dapat melonjakkan margin perbelanjaan dengan mengubah suai jangkaan minyak mentah 2020 lebih tinggi iaitu antara AS$45 hingga AS$55 setong. 

 

Ini ditambah dengan hasil kutipan cukai korporat yang lebih tinggi daripada jangkaan, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, jelasnya lagi.

 

Joseph Incalcaterra
Joseph Incalcaterra. Sumber : Forbes

 

“Kerajaan telah mengubah semula tujuan perbelanjaan 2021 untuk menangani langkah sekatan pergerakan terbaharu dan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) berjanji akan memberikan bantuan lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan dan lebih sokongan buat perniagaan,” kata Incalcaterra dalam nota kajian. 

 

Dalam laporan Tinjauan Fiskal 2021, kerajaan meletakkan andaian harga minyak mentah yang lebih rendah iaitu AS$40 setong berbanding anggaran asal, AS$62 setong. 

 

Ini yang menjadi penentu kepada unjuran defisit fiskal kerajaan yang dijangka meningkat kepada 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), setelah turut mengambil kira suntikan fiskal tambahan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi di samping anggaran KDNK.

 

Sementara itu, gelombang ketiga jangkitan COVID-19 di negara ini telah mendorong kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Januari 2021 menyebabkan Malaysia menduduki pergerakan penduduk terendah di Asia. 

 

Disebabkan itu, HSBC Global Research turut mengubah suai unjuran KDNK bagi suku pertama 2021 (1Q21) yang mengambil kira penguncupan ketara dalam penggunaan swasta, menurut Incalcaterra.

 

“Kami baru-baru ini menyemak turun unjuran KDNK 2021 daripada 6.7% kepada 5.2%.

 

“Unjuran kami lebih rendah daripada jangkaan dibuat kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM), terkini dalam julat 6.5% hingga 7.5%, di mana pihak berkuasa (kerajaan) mungkin akan mengubahsuainya tidak lama lagi,” ujarnya lanjut. 

 

Di sebalik semak turun itu, beliau percaya bahawa BNM akan kekalkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 1.75% menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang dijangka berlangsung esok. 

 

HSBC Global Research sebelum ini menjangkakan BNM akan mengurangkan 25 mata asas (bps) OPR pada perjumpaan 4 Mac ini (esok). 

 

Jelas Incalcaterra, penurunan kes COVID-19 baru-baru ini dengan sekatan pergerakan yang dilonggarkan selain kehadiran vaksin, semuanya membayangkan kemungkinan penurunan OPR. 

 

Baca : Masih ada ruang OPR dikurangkan - Penganalisis

 

“Oleh itu, kes asas kami sekarang ialah OPR tidak berubah pada 1.75% tahun ini. Walaupun begitu, kami percaya bahawa keputusan pada 4 Mac akan menjadi keputusan sengit, dengan peluang untuk dilonggarkan (potongan OPR) tidak dapat diabaikan memandangkan impak ketara pada pertumbuhan 2021 kerana langkah-langkah sekatan pergerakan.

 

“Lebih-lebih lagi, sekiranya keadaan tidak dijangka dan merosot, BNM tetap menjadi salah satu daripada beberapa bank pusat di rantau ini yang dengan mudah dapat memberikan sokongan dasar monetari,” katanya lanjut.

 

Untuk rekod, PKP 2.0 menyaksikan Malaysia rugi RM300 juta setiap hari, lebih rendah berbanding RM2.4 bilion yang dicatatkan pada PKP pertama pada Mac tahun lalu. 

 

Dalam pada itu kerajaan juga dalam masa sama berulang kali mengumumkan perkembangan positif dari sektor pembuatan, eksport dan Indeks Pengeluaran Perindustrian terus meningkat, sebahagian besarnya didorong oleh sektor elektronik negara, tambah Incalcaterra. - DagangNews.com