Kerajaan UK mulakan siasatan ke atas Supermax atas dakwaan buruh paksa | DagangNews Skip to main content

Kerajaan UK mulakan siasatan ke atas Supermax atas dakwaan buruh paksa

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Kerajaan United Kingdom (UK) dilaporkan telah memulakan siasatan ke atas  pembekal utama peralatan pelindung diri Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), Supermax Corp Bhd, berhubung dakwaan buruh paksa.

 

Memetik pegawai di Jabatan Perniagaan, Tenaga dan Strategi Perindustrian UK (BEIS), Guardian awal minggu ini melaporkan bahawa mereka sedang menyiasat Supermax, yang memenangi kontrak £316 juta (RM1.78 bilion) untuk 88.5 juta sarung tangan getah di tengah-tengah wabak Covid-19.

 

Siasatan dibuat sebulan selepas Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat berkata ia akan menahan import sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh Supermax atas dakwaan buruh paksa.

 

Menurut Guardian, kerajaan UK telah memulakan siasatannya sendiri selepas Jeremy Purvis, Demokrat Liberal, menuntut penelitian Supermax dan tindakan untuk memastikan produk yang dibuat menggunakan perhambaan moden tidak digunakan di Britain.

 

 “Kami memandang serius dakwaan sebegini dan kami sedang menyiasat tuntutan yang dibuat terhadap Supermax. Kami telah membuat komitmen kuat untuk menghapuskan perhambaan moden daripada semua kontrak dalam rantaian bekalan kerajaan,” lapor jurucakap kerajaan sebagai berkata.

 

Laporan itu berkata kerajaan menjelaskan bahawa siasatan itu boleh menyebabkan Supermax dilarang daripada membekalkan kepada NHS. 

 

“Proses usaha wajar dijalankan untuk semua kontrak kerajaan dan pembekal kami dikehendaki mengikut piawaian undang-undang dan etika tertinggi.

 

" Jika mereka gagal berbuat demikian, kami akan mengeluarkan mereka daripada kontrak semasa dan akan datang,” laporan itu memetik jurucakap itu sebagai berkata. 

 

The Guardian berkata Supermax memberikan maklum balas ketika diminta berbuat demikian. -DagangNews.com