Kerjasama pembuatan pintar Malaysia-Jepun memasuki fasa kedua | DagangNews Skip to main content

Kerjasama pembuatan pintar Malaysia-Jepun memasuki fasa kedua

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam membantu industri pembuatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk menerima pakai teknologi pembuatan pintar, telah memasuki fasa kedua melibatkan pemadanan perniagaan dan penciptaan pameran teknologi Industri 4.0. 

 

Malaysia melalui Sirim Berhad, bersama-sama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kuala Lumpur, telah bekerjasama untuk menyokong pengenalan pembuatan pintar dan teknologi yang melibatkan Industri 4.0 Jepun kepada PKS tempatan dalam sektor pembuatan sejak tahun 2019.  

 

Sirim dalam sebuah kenyataan memberitahu, bagi memulakan fasa kedua kerjasama itu, bengkel pemadanan perniagaan dalam talian telah diadakan pada 25 Mac lalu. 

 

Ini bertujuan menyediakan platform dalam talian yang sesuai untuk penyedia penyelesaian Jepun dan PKS tempatan. 

 

“Empat penyedia penyelesaian Jepun yang menyertai bengkel berkenaan adalah Hitachi Asia (Malaysia) Sdn. Bhd., KDDI Malaysia Sdn. Bhd., NEC Corporation of Malaysia Sdn. Bhd. dan Mitsubishi Electric Sales Malaysia Sdn. Bhd.

 

“Sebanyak 17 PKS tempatan dari pelbagai industri pembuatan telah menyertai bengkel sehari itu, di mana 28 sesi pemadanan perniagaan telah diadakan. 

 

“PKS tempatan yang telah mengaplikasi dan menerima laporan Penilaian Kesediaan Industry4WRD telah menunjukkan minat dalam mengguna pakai teknologi Jepun daripada penyedia penyelesaian berkenaan,” jelas Sirim.

 

Kerajaan melalui Industry4WRD: Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertujuan memacu transformasi digital ke arah pembuatan dan sektor perkhidmatan yang berkaitan di Malaysia. 

 

Bagi pameran yang berjaya dipadankan, PKS layak untuk memohon insentif yang diberikan oleh kerajaan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengguna pakai teknologi Industri 4.0 yang relevan.

 

Fasa ketiga dan terakhir kerjasama tersebut akan melibatkan majlis pemadanan perniagaan dalam skala besar dan ia terbuka kepada semua sektor pembuatan Malaysia dan penyedia penyelesaian Jepun. 

 

Pada fasa pertama kerjasama itu, sebanyak 10 seminar perniagaan telah diadakan bermula tahun 2019 hingga 2020 berkaitan pengenalan teknologi pembuatan pintar Industri 4.0 Jepun yang menampilkan pelbagai penyedia penyelesaian di Semenanjung Malaysia.

 

Seminar itu telah disertai oleh 1,100 peserta dari sektor pembuatan Malaysia dan syarikat perkhidmatan berkaitan pembuatan. - DagangNews.com