Kertas Putih Kesihatan perkukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh - PM | DagangNews Skip to main content

Kertas Putih Kesihatan perkukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh - PM

Gambar Facebook Kementerian Kesihatan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan Kertas Putih Kesihatan dapat mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh, sejajar dengan keperluan kesihatan rakyat ketika ini, selain sentiasa bersedia mendepani cabaran dalam tahun-tahun yang mendatang.

 

Perdana Menteri berkata, cadangan Kertas Putih Kesihatan bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh, agar sejajar dengan keperluan kesihatan rakyat ketika ini.

 

Beliau berkata, Kertas Putih itu bukan sahaja menumpukan kepada transformasi perkhidmatan kesihatan, tetapi juga meneliti aspek-aspek lain yang membawa impak kepada kesihatan Keluarga Malaysia," katanya.

 

Jelasnya, selepas lebih dua tahun seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, satu perancangan komprehensif dan menyeluruh perlu dibentuk supaya kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal utuh pada masa hadapan.

 

"Cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang kita jangkakan pada masa hadapan, patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan sedia ada. 

 

"Justeru, pembangunan Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan kalis masa hadapan," katanya ketika berucap merasmikan Health Policy Summit 2022: The Future Of Our Healthcare - Health White Paper Development di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

 

Menurut Ismail Sabri, sistem kesihatan negara sama ada kerajaan mahupun swasta, telah berfungsi dengan cemerlang sehingga sebahagian besar Keluarga Malaysia menikmati tahap kesihatan yang baik terutama ketika kes pandemik COVID-19 memuncak.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Namun begitu, kita tidak seharusnya mudah berasa selesa kerana pandemik COVID-19 bukanlah yang terakhir kerana terdapat pelbagai cabaran baharu bakal muncul, seterusnya akan menguji tahap keberkesanan dan ketahanan asas sistem kesihatan sedia ada.

 

Beliau berkata, sejak berlakunya pandemik pada tahun 2020 dan sehingga kini, seramai 4.6 juta rakyat Malaysia telah dijangkiti COVID-19 dan sebanyak 36,000 orang telah kehilangan nyawa.

 

"Hampir tiga suku atau 74% daripada jumlah kematian melibatkan Keluarga Malaysia berusia 60 tahun ke atas, sekali gus menyebabkan trauma berpanjangan kepada ahli keluarga mereka kerana kehilangan tempat bergantung.

 

"Alhamdulillah, hasil usaha Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kadar kematian dan kadar kemasukan wad intensif dapat dibendung. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan turut berjaya melandaikan lengkuk jangkitan wabak, mengelakkan kadar kematian yang lebih tinggi serta mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara," katanya. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara bebas daripada amalan merokok, melalui strategi Generasi Penamat dan saya berharap Rang Undang-Undang berkenaan dapat dibentangkan di mesyuarat Parlimen yang akan datang.

 

Beliau menyeru Keluarga Malaysia agar membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, pupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.

 

"Kerajaan akan terus memainkan peranannya untuk memastikan sektor kesihatan negara terus berdaya tahan dan fleksibel supaya kekal dan kalis cabaran pada masa hadapan.

 

"Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada KKM (Kementerian Kesihatan) kerana mengambil inisiatif menganjurkan persidangan ini sebagai usaha menambah baik sistem kesihatan negara," katanya. - DagangNews.com