Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir bersara selepas 37 tahun berkhidmat | DagangNews Skip to main content

Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir bersara selepas 37 tahun berkhidmat

Khairdzir Md Yunus

KUALA LUMPUR 23 Jun - Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Khairdzir Md Yunus hari ini bersara wajib dari agensi pertubuhan berita negara itu selepas menabur khidmat selama 37 tahun.

 

Anak kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu memulakan kerjayanya di Bernama sebagai Pegawai Berita  sejak 1 Okt 1985 selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kajian Populasi) dari Universiti Malaya (UM).

 

Khairdzir, 60,  pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Biro Kedah, Koresponden Bernama di Indonesia, Ketua Penyuntingan Bahasa Melayu dan Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) sehinggalah dilantik menjadi Ketua Pengarang pada Disember tahun lepas.

 

“Di Bernama ini kita bermula dari bawah. Walaupun sekarang ini di akhir-akhir (perkhidmatan) saya dilantik sebagai ketua pengarang, tetapi saya bermula sebagai wartawan biasa pada 37 tahun lepas. Jadi banyak pengalaman yang telah saya timba.

 

“Memang Bernama ini adalah antara institusi pendidikan yang cukup baik, kita diberi pendedahan kepada pelbagai pengalaman. Kalau hendak cerita pengalaman yang tidak dapat dilupakan itu memang macam-macam sebenarnya,” katanya sewaktu ditemu ramah.

 

Ditanya mengenai pengalaman bekerja yang tidak dapat dilupakan, Khairdzir berkata beliau pernah membuat liputan peristiwa rusuhan banduan Penjara Pudu yang memaksa beliau bersama-sama pasukan Bernama untuk bermalam di kaki lima bangunan penjara itu untuk bersiap sedia terhadap sebarang kejadian.

 

Beliau yang turut berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), antara orang penting yang terlibat dalam membuat liputan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM).

 

Dalam tempoh perkhidmatan di Bernama, beliau juga pernah bertemu pemimpin Libya ketika itu, Muammar Gaddafi untuk membuat liputan bagi lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di negara itu.

 

“Sewaktu bertugas di Jakarta, Indonesia sebagai koresponden selama tiga tahun pada 1995 hingga 1998, saya sempat melihat kejatuhan Presiden Suharto ketika itu apabila pada tahun 90-an berlaku kegawatan ekonomi dunia dan telah menggugat kestabilan banyak negara termasuk Indonesia.

 

“Pada 1998 berlaku rusuhan kaum di negara itu, rusuhan besar-besaran dan saya sempat melihat kejadian itu di depan mata sendiri. Bahkan saya terpaksa menghantar pulang isteri dan tiga orang anak yang masih kecil pada waktu itu demi keselamatan mereka dengan pesawat tentera yang dihantar kerajaan Malaysia,” katanya.

 

Menyentuh mengenai langkah Bernama pada masa akan datang, Khairdzir berkata agensi berita rasmi negara itu tidak boleh menafikan kepentingan platform berita baharu seperti media sosial, sebaliknya perlu mencari jalan untuk menjadi kreatif dalam memanfaatkan kaedah itu.

 

Katanya, ia berikutan masyarakat, khususnya golongan muda mula mencari fakta dan maklumat daripada media sosial sebagai alternatif untuk mendapatkan berita berbanding medium tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio.

 

“Jadi, Bernama bukan sahaja perlu mengambil perkara ini sebagai saingan, tetapi juga harus mula meneroka kaedah atau platform baharu ini untuk menyebarkan berita.

 

"Setakat ini Bernama masih lagi dianggap sebagai agensi berita yang menyalurkan maklumat atau fakta yang sahih, tetapi pada masa yang sama kita kena mencari jalan untuk menjadi kreatif bagi menarik golongan muda khususnya yang kini semakin berminat kepada kaedah atau platform media sosial,” katanya.

 

Mengakhiri temu ramah, Khairdzir sempat menasihati wartawan Bernama untuk terus mempertingkatkan kualiti berita yang hendak disampaikan bagi mengekalkan peranannya sebagai satu-satunya agensi berita negara.

 

Sidang Editorial DagangNews yang turut mengenali Khairdzir untuk tempoh yang lama, turut sama mengucapkan Selamat Bersara kepada beliau. - DagangNews.com