Keuntungan bersih Bonia bernilai RM14.3j melebihi ramalan CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Bonia bernilai RM14.3j melebihi ramalan CGS-CIMB

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Keuntungan bersih Bonia Corporation Berhad (Bonia) merosot 21.9% kepada RM14.3 juta pada tahun kewangan 2020 berakhir Jun lalu berbanding tahun 2019. 

Angka yang dicatatkan itu bagaimanapun melebihi jangkaan sebanyak 117% yang dibuat oleh CGS-CIMB Research.

CGS-CIMB sebelum ini menyasarkan Bonia bakal berdepan kerugian lebih besar pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4QF20) susulan penutupan sementara operasi kedainya dan jualan yang lemah ketika penularan COVID-19.

“Bagaimanapun, dividen 2 sen sesaham dalam jangkaan. Hasil yang diperoleh pada 4QF20 merosot 68% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pelbagai sekatan pergerakan dilaksanakan di kesemua pasaran utama Bonia di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

“Operasi Bonia di Malaysia iaitu pasaran terbesarnya 78% daripada hasil 4QF20, menyaksikan penurunan hasil sebanyak 60.2% dan terjejas teruk akibat penutupan kedai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelas analisis CGS-CIMB.

CGS-CIMB menjangkakan jualan Bonia akan mula pulih pada suku-suku kewangan seterusnya susulan kelonggaran sekatan pergerakan dan syarikat itu juga merancakkan lagi usaha pengukuhan jenama dalam ruangan digital.

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ bagi saham Bonia dengan harga sasaran RM0.95.

“Ramalan ini mungkin menunjukkan positif sekiranya pemulihan jualan Bonia berlaku lebih pantas.

“Tetapi sebaliknya jika jualan runcit merosot teruk dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com