Kemungkinan Malaysia muflis seperti Sri Lanka amat tipis - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kemungkinan Malaysia muflis seperti Sri Lanka amat tipis - Tengku Zafrul

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Hutang negara masih dalam keadaan terkawal dan kemungkinan Malaysia akan muflis seperti Sri Lanka adalah sangat tipis berikutan kedudukan ekonomi yang lebih baik berbanding negara itu.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga tidak pernah melaporkan Malaysia berdepan kemungkinan untuk muflis sebaliknya mereka berkeyakinan terhadap kemampuan pertumbuhan ekonomi negara ini.

 

"April tahun lalu, IMF menyuarakan keyakinan mereka bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini akan berkembang pada kadar 5.75%.

 

"Jika dibandingkan dengan Sri Lanka, jelas sekali ekonomi Malaysia lebih kukuh dan kemungkinan untuk muflis itu sangat tipis," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada tahap hutang negara masih berada dalam keadaan terurus atau akan menjadi muflis seperti Sri Lanka.

 

Tengku Zafrul berkata, nisbah bayaran khidmat hutang kepada hasil bagi Malaysia telah mencapai paras 16.3% pada 2021 dan berdasarkan Bajet 2022, ia dijangka melebihi 18%.

 

“Ini bermakna bagi setiap RM1 hasil kerajaan, hampir 20 sen digunakan hanya untuk pembayaran faedah atau bunga hutang dan tidak mengambil kira pun keupayaan untuk membayar balik jumlah pokok pinjaman kerajaan,” katanya.

 

Beliau menegaskan bahawa kebolehan sesebuah negara meningkatkan jumlah pinjamannya bukanlah bergantung semata-mata ke atas nisbah hutang kepada KDNK, tetapi faktor paling utama adalah kemampuan keberhutangan serta kemampanan hutang.

 

Katanya, kadar hutang kepada KDNK di Malaysia hanya di tahap 63% manakala negara maju seperti Jepun mempunyai kadar hutang sebanyak 263% daripada KDNK dan Singapura pada kadar 133%.

 

“Di samping itu, nisbah peratusan cukai kepada KDNK untuk Malaysia adalah pada paras sekitar 11% iaitu lebih rendah berbanding negara lain seperti Filipina 18%, Thailand 17.2%  dan Singapura 13.3%,” katanya.

 

Secara purata, Tengku Zafrul berkata, nisbah peratusan cukai kepada KDNK bagi negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) adalah melebihi 33%.

 

“Ini bermakna walaupun ekonomi negara semakin pulih pada 2022, pertumbuhan ekonomi tersebut tidak menjana hasil tambahan yang sewajarnya untuk menampung penambahan hutang,” katanya. - DagangNews.com