Khairy ketuai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan | DagangNews Skip to main content

Khairy ketuai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Gambar Malay Mail

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin - Gambar Malay Mail

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi memastikan program imunisasi dilaksanakan dengan teratur. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sebentar tadi berkata, Khairy akan mengetuai satu Pasukan Pertugas Khas yang menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri dan agensi kerajaan

 

"Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan untuk terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan," katanya.

 

Menurut beliau, pihaknya juga sedar bahawa Kerajaan Persekutuan tidak boleh bertindak bersendirian tanpa penglibatan Kerajaaan Negeri dalam menghadapi situasi pandemik ini. 

 

Terdapat perkara-perkara penting yang berkaitan dengan pengurusan COVID-19 yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tambahnya. 

 

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara bersepadu. 

 

"Saya telah mengundang semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang diadakan 3 kali seminggu. 

 

"Banyak isu yang turut melibatkan kepentingan serta peranan negeri dibincangkan dalam sidang khas ini," jelasnya.

 

Di peringkat negeri, Menteri Besar dan Ketua Menteri mempengerusikan mesyuarat di peringkat negeri masing-masing yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi untuk bersama-sama mengurus pandemik ini dengan lebih berkesan.

 

"Jadi, setiap peringkat pentadbiran kerajaan mengambil tanggungjawab bersama untuk memelihara keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi. - DagangNews.com