Khee San dicela awam oleh bursa, denda 9 pengarah berjumlah RM885,000 | DagangNews Skip to main content

Khee San dicela awam oleh bursa, denda 9 pengarah berjumlah RM885,000

Bursa Malaysia memandang serius pelanggaran itu sebagai keperluan untuk membuat pengumuman segera mengenai keingkaran material.

KUALA LUMPUR 29 Jun - Bursa Malaysia telah mengenakan tindakan celaan awam terhadap syarikat Khee San Bhd dan sembilan pengarahnya secara terbuka kerana melanggar keperluan penyenaraian pasaran utamanya.

 

Sembilan pengarah Khee San turut dikenakan denda berjumlah RM885,000. Sembilan pengarah itu ialah bekas pengerusi Datuk Seri Liew Yew Chung dan pengarah eksekutif merangkap ketua pegawai eksekutif Edward Tan Juan Peng.

 

Pengarah lain ialah Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Mohd Harif, Dato’ Mohd Aris Ramli, Mohanadas A/L K.P. Balan, Leslie Looi Meng, Huang Yan Teo, Wong Hock Foong dan Liew Yet Mei.

 

Bursa berkata pelanggaran itu termasuk gagal membuat pengumuman segera mengenai kegagalan pembayaran pelbagai kemudahan kredit oleh syarikat dan anak syarikat utamanya Khee San Food Industries Sdn Bhd.

 

Syarikat itu juga gagal memastikan representasi bahawa ia 'solvent' dan akan dapat membayar semua hutangnya apabila genap tempoh perlu dijelaskan dalam tempoh 12 bulan antara 8 Ogos 2019 dan 6 Julai 2020.

 

Bursa berkata Khee San juga gagal mengisytiharkan bahawa pengisytiharan kesolvenan bertarikh 13 Ogos 2019 dan 29 Jun 2020 adalah tepat dan tidak palsu atau mengelirukan.

 

"Bursa Malaysia memandang serius pelanggaran itu sebagai keperluan untuk membuat pengumuman segera mengenai keingkaran material dalam pembayaran kemudahan kredit dan menyediakan pengisytiharan kesolvenan yang tepat adalah asas untuk membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan termaklum berhubung keadaan kewangan penerbit tersenarai.

 

"Selain itu, adalah mustahak bagi lembaga pengarah untuk mematuhi keperluan tadbir urus korporat yang antara lain, menggalakkan akauntabiliti korporat kepada pemegang saham dan orang ramai yang melabur," katanya.

 

Sementara itu, Bursa berkata jumlah tertunggak kemudahan kredit ingkar sebanyak RM73.16 juta pada 30 Jun 2019 mewakili 55.38 peratus daripada aset bersih Khee San.

 

Ia menambah bahawa syarikat itu hanya membuat pendedahan lengkap mengenai kemungkiran pembayaran kepada semua bank pemiutang pada 6 Julai 2020, selepas lewat lebih daripada satu tahun. - DagangNews.com