KKM, Futurise lancar Makmal Kawal Selia Perkhidmatan Kesihatan Dalam Talian | DagangNews Skip to main content

KKM, Futurise lancar Makmal Kawal Selia Perkhidmatan Kesihatan Dalam Talian

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Futurise Sdn. Bhd. mengumumkan pelancaran Makmal Kawal Selia Perkhidmatan Kesihatan Dalam Talian (OHS RegLab) bagi merevolusikan rangka kerja untuk Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Dalam Talian (OHS) di negara ini.

 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal) Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim berkata, OHS telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa di seluruh dunia melalui kepesatan pembangunan teknologi digital.

 

“Keadaan itu menunjukkan perubahan ketara dalam tingkah laku penduduk di rantau ini dan keperluan untuk meningkatkan pelbagai saluran usaha dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan. 

 

"Gabungan kos yang semakin meningkat, penuaan penduduk, isu kedekatan dan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti juga mendorong pembuat dasar untuk memikirkan idea baharu yang boleh meningkatkan pengalaman dalam bidang penjagaan pesakit,” katanya.

 

Hishamshah berkata, OHS merupakan platform yang berpotensi besar untuk menghadapi cabaran peningkatan kos dan akses sambil memastikan kualiti perkhidmatan tertinggi dalam penjagaan kesihatan di Malaysia. 

 

Bagaimanapun, terdapat cabaran di bahagian kawal selia yang dihadapi penggiat OHS yang beroperasi di negara ini, bagaimanapun penubuhan OHS RegLab dijangka memainkan peranan penting dalam menangani isu tersebut melalui pendekatan kerjasama antara semua pihak yang berkaitan.

 

“KKM menyedari mengenai perkembangan dan potensi OHS dan jelas sekali, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan inovasi dalam sistem penjagaan kesihatan dan hospital. Ia juga seterusnya meletakkan asas kepada perubahan bidang penjagaan kesihatan negara.

 

“Kementerian ingin terus menyaksikan inovasi dalam bidang tersebut dengan penggunaan teknologi dan penyelesaian baharu bagi memenuhi keperluan dan menangani cabaran semasa," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain berkata, kerjasama antara kedua pihak itu akan memanfaatkan inisiatif Sandbox Kawal Selia Negara untuk menjalankan Makmal Kawal Selia tersebut.

 

“Penubuhan Makmal Kawal Selia itu akan menjadi platform kepada KKM untuk lebih memahami inovatif baharu OHS dengan membenarkan syarikat berkaitan beroperasi dalam persekitaran sebenar dan terkawal di bawah pemantauan pegawai KKM.

 

“Syarikat OHS juga akan berpeluang untuk menilai garis panduan dan memberikan maklum balas yang sesuai untuk memastikan mereka dapat menjalankan perniagaan dan operasi dalam rangka kerja yang jelas,” katanya. - DagangNews.com