Skip to main content

KLCI cuba ‘bangkit’ pagi ini, menokok 0.27%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 April - Pasaran saham pada pagi ini dibuka lebih tinggi seiring pasaran ekuiti global yang rata-ratanya berprestasi lebih kukuh semalaman.

 

Setakat 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 4.35 mata atau 0.27% daripada paras yang ditutup semalam,1,584.24 kepada 1,588.27.

 

Dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 225 kaunter untung mengatasi 62 kaunter rugi.

 

Antara saham yang melonjak adalah Volcano Berhad, Greatech Technology Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad, UWC Berhad, D & O Green Technologies Berhad, Genetec Technology Berhad, Unisem (M) Berhad, Top Glove Corporation Berhad, MI Technovation Berhad dan Dataprep Holdings Berhad.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan pemburuan saham murah akan diteruskan terutamanya dari dana-dana asing. 

 

“Di peringkat tempatan, walaupun FBM KLCI secara marginnya ditutup lebih rendah semalam, namun kami menjangkakan pemburuan saham murah akan diteruskan terutamanya dari dana-dana asing walaupun lemah. 

 

“Di sebalik penyatuan pasaran yang berterusan, kami percaya indeks penanda aras itu akan menguji paras 1,590 dan ke atas hari ini,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Wall Street sekali lagi ditutup pada paras tinggi memandangkan para pelabur optimis terhadap peralihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang akan pulih daripada pandemik COVID-19.

 

“Dow Jones Industrial Average meningkat 374 mata untuk melepasi paras 33,500 sementara S&P 500 ditutup 58 mata lebih tinggi menghampiri paras 4,100. 

 

“Oleh itu, kami percaya pasaran serantau akan mengekalkan trend meningkatnya hari ini selepas prestasi yang agak kukuh semalam,” tambah firma penyelidikan itu. - DagangNews.com