Kolaborasi AEON, Siti Nordiana lancar Nana Dessert | DagangNews Skip to main content

Kolaborasi AEON, Siti Nordiana lancar Nana Dessert

Siti Nordiana bersama produk manisan pencuci mulut Nana Dessert
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - AEON CO. (M) BHD. (AEON) berkolaborasi bersama penyanyi terkenal tanah air, Siti Nordiana melancarkan rangkaian produk manisan pencuci mulut, Nana Dessert. 

 

Produk manisan pencuci mulut itu boleh didapati di AEON Delicatessen yang terdapat di seluruh cawangan pasar raya AEON.

 

Majlis pelancaran AEON x Nana Dessert yang diadakan di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini memperkenalkan dua produk utama iaitu kek dan puding, selain terdapat lima jenis kek dan lima jenis puding bagi setiap kategori.

 

Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana berkata, beliau berasa sangat bertuah kerana dapat mengadakan usaha sama dengan AEON, sebuah rangkaian peruncitan terkemuka di Malaysia.

 

“Nana sememangnya gemar memakan manisan. Nana dapat berkongsi dengan para peminat Nana serta para pelanggan AEON untuk menikmati rangkaian manisan pencuci mulut lazat yang dihasilkan Nana sendiri.

 

“Tambahan pula, AEON mempunyai cawangan di seluruh negara yang pastinya memudahkan para pelanggan untuk mendapatkan Nana Dessert,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, kesemua rangkaian produk Nana Dessert diperbuat daripada sumber yang bermutu dan mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Ketua AEON Delicatessen dan Ketua Pusat Pemprosesan Makanan AEON, Azidah Alimuddin pula berkata, pihaknya bersyukur dapat bekerjasama dengan Nana untuk memasarkan rangkaian produk manisan pencuci mulut Nana Dessert.

 

 

nana

 

 

"Ia merupakan salah satu langkah AEON untuk terus giat membangunkan produk tempatan di pasar raya kami dan yakin rangkaian produk Nana Dessert mampu mendapat sambutan baik daripada para 
pelanggan AEON serta peminat-peminat Nana," katanya.

 

Pelbagai lagi jenis manisan pencuci mulut Nana Dessert akan dipasarkan di cawangan pasar raya AEON di seluruh negara.

 

Kolaborasi tersebut sejajar dengan usaha AEON memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 8, Kerjaya Yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi yang memberi tumpuan ke arah menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan, pekerjaan menyeluruh, baik lagi produktif kepada semua.

 

 

nana

 

 

Dalam pada itu, majlis perasmian tersebut dimeriahkan dengan kehadiran para peminat Nana dan 10 peminat bertuah berpeluang melakukan aksi 'boomerang' bersama beliau. 

 

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan nyanyian dua buah lagu oleh Nana berjudul Terus Mencintaimu serta Bunga dan Amaran. - DagangNews.com