Skip to main content

Kontrak masa hadapan Pentamaster lindungi margin keuntungan kumpulan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Pentamaster Corporation Berhad menandatangani kontrak hadapan pada 1HFY22 sebagai sebahagian daripada dasar lindung nilainya untuk melindungi margin keuntungan dan mengurangkan kesan tukaran mata wang asing.

 

CGS-CIMB Research berkata, perbelanjaan pentadbiran melonjak 35% dari tahun ke tahun disebabkan oleh kerugian derivatif yang lebih tinggi sebanyak RM11.6 juta pada 1HFY22 (berbanding RM4.7 juta pada 1HFY21).

 

"Kumpulan itu merancang untuk mengekalkan polisi lindung nilainya walaupun julatnya lebih rendah antara 70%-80% daripada pesanan tertunggaknya.

 

"Walaupun kerugian tukaran mata wang asing lebih tinggi, margin kumpulan itu masih berkembang sebanyak 1% kepada 30.4% pada 1HFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu melabur AS$6.8 juta (RM30 juta) ke dalam Everready Precision Industrial Corp (EPIC) yang berpangkalan di Taiwan melalui langganan ekuiti 29.9%.

 

Katanya, EPIC terlibat dalam mereka bentuk dan mengeluarkan penyelesaian dan komponen opto-elektronik yang meliputi acuan optik, kanta dan modul penderiaan 3D.

 

"Pentamaster memperoleh 6.8% pegangan ekuiti dalam pembekal penyelesaian gudang automatik pintar Pingspace dengan harga RM5 juta.

 

"Kami melihat pelaburan kumpulan itu dalam Pingspace mempercepatkan pengkomersialan penyelesaian automasi gudangnya dan menyediakan akses yang lebih baik kepada bakat dan keupayaan teknologi dalam aplikasi perisian," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.15. - DagangNews.com