KPPK teroka pasaran baharu, sasar eksport perabot kayu cecah RM24 bilion - Zuraida | DagangNews Skip to main content

KPPK teroka pasaran baharu, sasar eksport perabot kayu cecah RM24 bilion - Zuraida

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meneroka pasaran baharu Asia Tengah, Asia Barat dan Ocenia selain menyasarkan peningkatan eksport perabot kayu sebanyak RM24 bilion pada tahun hadapan.

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu, KPPK yakin usaha itu akan tercapai selain memastikan aspek berkaitan pekerja mencukupi selain kecekapan pengurusan dan dana kewangan.

 

“Kita akan meneroka pasaran baharu (perabot kayu) di Asia Tengah, China, India, Timur Tengah dan Ocenia serta Australia dan New Zealand yang sememangnya menjadi sasaran pasaran (bagi tahun depan). 

 

“Sasaran eksport itu dijangka meningkat dua kali ganda berikutan sokongan dalam memastikan aspek seperti tenaga kerja mencukupi dan pengurusan kewangan yang cekap. 

 

"Insya-Allah kita dapat tingkatkan pendapatan hasil daripada industri kayu ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Inkubator Reka Bentuk TIMB3R (TIMB3R DIP) 2.0 dan Hackathon di sini, hari ini lapor Bernama.

 

Walaupun berlaku pandemik COVID-19, nilai eksport kayu-kayan negara dan produk berasaskannya bagi tempoh Januari-Ogos 2021 berjumlah RM14.3 bilion manakala lima produk utama eskport adalah perabot kayu (RM6.6 bilion), papan lapis (RM2 bilion), kayu bergergaji  (RM1.5 bilion), kayu tanggam dan pertukangan atau BJC (RM606 juta) dan papan gentian (RM460.7 juta). 

 

Selain itu, lima pasaran utama eksport adalah Amerika Syarikat sebanyak (RM4.9 bilion), Jepun (RM1.9 bilion), China (RM1.6 bilion), Singapura (RM614.4 juta) dan India (RM596.8 juta). 

 

KPPK

 

Eksport perabot kayu Malaysia juga dijangka melebihi sasaran sebanyak RM12.5 bilion bagi 2021 dengan angka itu telah mencecah RM6.6 bilion setakat Ogos lepas.

 

Pada tahun lalu, nilai eksport produk terbabit berjumlah RM10.6 bilion.

 

Malaysia turut disenaraikan sebagai pengeksport keenam terbesar bagi produk kayu perabot, kayu kumai dan kayu tanggam di seluruh dunia dengan nilai eksport sebanyak RM12.3 bilion pada 2020.

 

Sementara itu, program TIMB3R DIP 2.0 dan Hackathon itu dianjurkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bersama Majlis Perabot Malaysia (MFC) dan Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (MIID) dengan sokongan Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC) serta Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA). 

 

kppk2

 

Program itu bagi menggalakkan kerjasama antara pengusaha industri berasaskan kayu dengan kalangan pereka atau arkitek untuk menghasilkan produk kayu nilai tambah tinggi buatan Malaysia bagi pasaran antarabangsa.

 

Dalam program itu, pereka terbabit dipadankan dengan pihak pengeluar produk kayu dan perabot bagi bekerjasama merekabentuk dan menghasilkan prototaip produk kayu bernilai tinggi.

 

Usaha terbabit bertujuan menggalakkan peralihan industri perabot kayu daripada pengilang peralatan asal (OEM) kepada pengeluar reka bentuk asal (ODM) dan seterusnya menjadi jenama pengeluar asal (OBM).-Dagangnews.com